Binastra disaran cari banyak kontrak baharu melalui projek tenaga hijau - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra disaran cari banyak kontrak baharu melalui projek tenaga hijau - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Jun — Binastra Corporation Berhad disaran agar aktif dalam meneroka lebih banyak kontrak baharu melalui pelbagai projek tenaga hijau di seluruh negara, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah itu tepat pada masanya kerana kumpulan berkenaan ada membentuk Binastra Green Energy Sdn Bhd untuk terlibat dalam tender tenaga boleh diperbaharui.


Anak syarikat terbaharu itu yang ditubuhkan pada 14 Februari 2025 dilaporkan berhasrat menjalin kerjasama dengan pemain utama tempatan dalam sektor tenaga solar yang masih luas belum diteroka.


"Kami berharap ia akan membolehkan kumpulan ini mengambil peranan penuh dalam aspek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya. 


Pada 19 Jun 2025, Binastra melaporkan perolehan hasil lebih tinggi dengan keuntungan bersih menokok 38.9 peratus kepada RM25.1 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 30 April 2025.


Kumpulan berkenaan turut memaklumkan ia akan memanfaatkan Binastra Green Energy bagi membuka laluan strategi jangka panjang dalam pelbagai kerja-kerja pembangunan infrastruktur hijau.


Mengulas lanjut, RHB Research berkata, pada ketika ini kumpulan tersebut berdepan dengan risiko kelemahan disebabkan trend kelembapan penambahan bilangan kontrak pekerjaan baharu yang ketara.


"Kami difahamkan ia berusaha mendapatkan lebih ramai pelanggan berpotensi untuk projek-projek kediaman bertingkat tinggi selain meneroka kontrak EPCC bagi tenaga boleh diperbaharui," katanya.


Langkah agresif tersebut kata firma berkenaan, adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang kumpulan untuk mempelbagaikan projek hartanah bukan kediaman termasuk tender pembinaan pusat-pusat data.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research masih mengekalkan saranan "beli" ke atas Binastra dengan harga sasaran turut tidak berubah kepada sebanyak RM2.64 sesaham. - DagangNews.com