Binastra catat prestasi rekod empat tahun berturut-turut dengan PATAMI RM133.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra catat prestasi rekod empat tahun berturut-turut dengan PATAMI RM133.5 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac – Binastra Corporation Berhad mencatatkan prestasi kewangan terbaiknya untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (FY2026), menandakan tahun rekod keempat berturut-turut bagi syarikat itu.

 

Bagi FY2026, Binastra merekodkan pendapatan sebanyak RM1.5 bilion, meningkat 58.7 peratus berbanding RM946.6 juta pada FY2025. Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pula meningkat 47.9 peratus kepada RM133.5 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat meningkat 45.2 peratus kepada RM180.8 juta, disokong oleh pelaksanaan projek yang mantap dan sumbangan daripada subsidiari baharu, LF Lansen Sdn Bhd, yang dimiliki 51 peratus oleh Binastra.

 

“Binastra mencatatkan pulangan ekuiti (ROE) yang tinggi pada 37.9 peratus, jauh melebihi purata industri. Prestasi ini juga mencerminkan pertumbuhan tahunan gabungan (CAGR) tiga tahun bagi pendapatan dan PATAMI masing-masing melebihi 100 peratus.

 

“Bagi suku keempat FY2026, pendapatan syarikat meningkat 76.6 peratus kepada RM477.2 juta manakala PATAMI melonjak 68.9 peratus kepada RM42.4 juta. 

 

“Peningkatan ini disokong oleh jumlah tapak projek yang lebih aktif dan projek baharu daripada LF Lansen,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagi tahun kewangan penuh, Binastra mengumumkan dividen sebanyak 6.5 sen sesaham, mewakili 53.1 peratus daripada PATAMI FY2026. Dividen kedua interim sebanyak 3.5 sen sesaham dijangka dibayar pada 24 April 2026. 

 

Berdasarkan harga penutup saham RM1.98 pada 25 Mac, ini memberikan hasil dividen sekitar 3.3 peratus.

 

t

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Binastra, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata prestasi kukuh syarikat mencerminkan kekuatan pelaksanaan projek dan reputasi industri yang telah dibina selama ini. 

 

“Keupayaan syarikat menjana nilai tinggi kepada pemegang saham terbukti melalui ROE yang mantap.

 

“Binastra akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan pada FY2027 dengan memberi tumpuan kepada projek pusat data dan tenaga boleh diperbaharui selain projek kediaman yang menjadi teras syarikat,” katanya.

 

Binastra mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan baki tunai bersih RM48.7 juta pada akhir FY2026. Prestasi FY2026 juga melepasi jangkaan pasaran, dengan PATAMI RM133.5 juta berbanding unjuran penganalisis sebanyak RM132.4 juta.

 

Syarikat itu menerima lapan saranan Beli daripada firma broker tempatan dengan harga sasaran antara RM2.54 dan RM2.80 sesaham yang menunjukkan keyakinan mereka terhadap prestasi dan prospek Binastra.

 

Bagi FY2026, Binastra berjaya memperoleh 16 kontrak baharu bernilai RM4.2 bilion. Daripada jumlah itu, 22.1 peratus datang daripada projek bukan kediaman termasuk pembangunan pusat data dan projek tenaga boleh diperbaharui.

 

Memasuki FY2027, Binastra telah menerima kontrak baharu bernilai RM819.5 juta daripada EXSIM dan HCK Capital Group Berhad. Jumlah baki tempahan kini mencapai RM7.1 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan sehingga empat tahun. - DagangNews.com