Binasat batalkan pembelian hartanah di Empire City, akan dapat balik RM32 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binasat batalkan pembelian hartanah di Empire City, akan dapat balik RM32 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Binasat Communications Berhad membatalkan pembelian hartanah di Empire City selepas anak syarikatnya, Binasat Development Sdn Bhd (BDSB) dan Country Annals Sdn Bhd (CASB) mencapai persetujuan untuk menamatkan perjanjian jual beli tersebut.

 

Persetujuan itu dimeterai pada 12 Ogos 2026 menerusi perjanjian penamatan bersama (Mutual Termination Agreement).

 

Susulan penamatan itu, CASB akan memulangkan sejumlah RM32.19 juta kepada BDSB merangkumi RM29.19 juta jumlah pertimbangan pembelian yang telah dibayar kumpulan setakat ini serta RM3 juta kos dan perbelanjaan berkaitan pengambilalihan hartanah Empire City.

 

Binasat terima semula RM32.19 juta

Daripada RM29.19 juta yang telah dibayar bagi pertimbangan pembelian itu, RM10.29 juta merupakan nilai saham pertimbangan yang diterbitkan kepada CASB, manakala RM11.54 juta dibiayai melalui hasil terbitan saham penempatan.

 

Baki RM7.35 juta pula dibiayai menggunakan dana dalaman kumpulan, menjadikan jumlah keseluruhan pertimbangan yang telah dibayar sebanyak RM29.19 juta.

 

CASB akan membayar semula jumlah RM32.19 juta itu kepada BDSB dalam dua ansuran iaitu RM20 juta pada atau sebelum 31 Oktober 2026 dan RM12.19 juta pada atau sebelum 31 Disember 2026.

 

Sekiranya CASB gagal menjelaskan mana-mana ansuran pada tarikh ditetapkan, BDSB akan memberikan lanjutan automatik selama 30 hari bekerja tanpa faedah. Jika masih terdapat jumlah tertunggak selepas tempoh itu, faedah sebanyak 8% setahun akan dikenakan sehingga bayaran penuh dibuat.

 

Dana akan digunakan untuk perniagaan baharu

Binasat berkata keputusan menamatkan urus niaga itu dibuat selepas mengambil kira pelepasan kumpulan daripada kewajipan membayar baki pertimbangan secara tunai serta pemulangan semula jumlah RM32.19 juta.

 

Menurut syarikat, dana yang diterima semula itu boleh diperuntukkan kepada perniagaan baharu dan/atau tujuan lain yang akan ditentukan kemudian, yang dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan.

 

Lembaga pengarah Binasat, selepas mempertimbangkan semua aspek penamatan tersebut, berpandangan bahawa keputusan itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.

 

Perlu kelulusan pemegang saham

Bagaimanapun, sebahagian daripada wang yang diterima semula itu tertakluk kepada proses kelulusan pemegang saham kerana ia melibatkan perubahan material (Material Variation) terhadap penggunaan dana daripada terbitan saham penempatan dan saham pertimbangan yang sebelum ini diluluskan.

 

Binasat berkata RM11.54 juta yang diperoleh daripada terbitan saham penempatan serta saham pertimbangan yang diterbitkan kepada CASB sebelum ini digunakan sebagai sebahagian daripada penyelesaian harga pembelian hartanah Empire City.

 

Sehubungan itu, syarikat perlu membuat pengumuman berkaitan dan mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi perubahan material tersebut, yang dijangka diadakan pada suku pertama 2027. - DagangNews.com