Bina Puri jual bangunan di Selayang berharga RM10 juta kepada Heritage Merge | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bina Puri jual bangunan di Selayang berharga RM10 juta kepada Heritage Merge

Wisma Bina Puri
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 April – Bina Puri Holdings Bhd merancang untuk menjual sebuah hartanah industri miliknya di Bandar Selayang, Gombak, Selangor, yang dikenali sebagai Wisma Bina Puri.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bina Puri berkata hartanah tersebut ialah sebuah bangunan pejabat setinggi lima setengah tingkat beserta dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah.

 

“Perjanjian jual beli bersyarat telah ditandatangani pada 31 Mac 2026 dengan Heritage Merge (M) Sdn. Bhd. sebagai pembeli. Harga jualan yang dipersetujui ialah sebanyak RM10 juta dan akan dibayar secara tunai.

 

“Hartanah ini mempunyai luas tanah kira-kira 1,665 meter persegi dan luas bangunan sekitar 7,106 meter persegi. Kawasan yang boleh disewa bagi pejabat ialah sekitar 2,849 meter persegi, manakala usia bangunan telah mencapai 27 tahun,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Nilai pasaran hartanah berdasarkan penilaian bebas pada 6 Februari 2026 ialah RM10 juta, manakala nilai buku terkini bagi Bina Puri Holdings ialah RM10.43 juta. 

 

Hartanah ini sebelum ini telah dijadikan cagaran untuk pinjaman bank sebanyak RM34 juta.

 

Cadangan penjualan ini bertujuan untuk membolehkan syarikat membayar sebahagian pinjaman bank tersebut dan menjimatkan kos faedah. Ia juga sebahagian daripada usaha penstrukturan semula bagi mengurangkan beban hutang syarikat.

 

Bina Puri Holdings menegaskan hartanah ini merupakan aset bukan teras dan penjualan hartanah dijangka dapat meningkatkan kedudukan kewangan syarikat dengan mengurangkan nisbah hutang dan sedikit meningkatkan aset bersih per saham.

 

“Hasil jualan selepas ditolak kos dan bayaran lain akan disalurkan kepada bank bagi menebus sebahagian pinjaman. Anggaran jumlah yang akan dibayar kepada bank ialah sekurang-kurangnya RM9.6 juta.

 

“Transaksi ini tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk kelulusan pihak berkuasa negeri Selangor dan pengesahan dari mahkamah untuk memastikan proses jual beli adalah sah,” katanya.

 

Wisma Bina Puri akan diserahkan kepada pembeli dalam keadaan kosong daripada penyewa atau pihak ketiga. Risiko terhadap hartanah tetap di pihak syarikat sehingga penyerahan sepenuhnya.

 

Jika berlaku kerosakan atau kehilangan pada hartanah sebelum serahan, pembeli mempunyai hak untuk membatalkan transaksi dan pihak syarikat perlu mengembalikan semua bayaran yang diterima. Syarikat juga bertanggungjawab ke atas sebarang cukai keuntungan hartanah yang timbul.

 

Bina Puri Holdings tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham untuk melaksanakan penjualan ini, kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu. Namun, semua syarat perjanjian jual beli perlu dipenuhi untuk memastikan transaksi dapat diselesaikan mengikut perancangan.

 

Sekiranya semua syarat dipenuhi, cadangan penjualan Wisma Bina Puri dijangka dapat diselesaikan pada separuh kedua tahun 2026. Syarikat menyatakan bahawa transaksi ini adalah demi kepentingan terbaik Bina Puri Holdings dan akan memperkukuh kedudukan kewangan syarikat secara keseluruhan. - DagangNews.com