KUALA LUMPUR 12 Ogos — Langkah SkyWorld Development Berhad membina kilangnya sendiri dijangka mengawal kos projek rumah murah yang diusahakannya di Pulau Pinang, kata Malacca Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kilang sistem modular prasiap (PPVC) itu diunjur dapat menyokong pelaksanaan projek pembinaan meliputi lebih 35,000 unit kediaman di bawah skim Rumah Bakat MADANI.
Tambahnya, jarak lokasi cadangan kilang baharu itu juga kurang 15 kilometer daripada dua tapak pembangunan perumahan mampu milik berkenaan yang masing-masing di Seberang Jaya dan Batu Kawan.
"Kami melihat usaha pengambilan tanah yang bernilai RM82.7 juta bagi pembinaan kilang sebagai strategi positif dan boleh meningkatkan lagi margin projek SkyWorld," kata Malacca Securities dalam notanya.
Selain itu katanya, kedudukan kilang PPVC tersebut menambah baik garis masa penghantaran bahan terus ke kawasan pembinaan yang memberikan kos pengangkutan lebih rendah untuk modul pasang siap.
Kemudahan baharu itu tambahnya, bukan sahaja akan menyokong pelaksanaan perumahan mampu milik di Pulau Pinang tetapi meningkatkan keupayaannya mendapatkan projek berskala besar pada masa depan.
Malacca Securities berkata, PPVC dihasilkan kilang itu dengan anggaran kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3,600 unit kediaman dijangka menyokong secara kukuh kelancaran projek SkyWorld sendiri.
"Kami percaya pembuatan bahan ini akan menjadi penyumbang hasil kepada kumpulan sebaik sahaja pembangunan perumahan mampu milik Pulau Pinang memperoleh momentum pelaksanaan," katanya.
Kumpulan pemaju hartanah itu bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menerusi anak syarikatnya, PDC Properties Sdn Bhd bagi pembinaan projek kediaman terbaharu berkenaan.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, Malacca Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas SkyWorld dengan harga sasaran tidak berubah 64 sen setelah menilai potensi jangka panjang. - DagangNews.com








