Bina Darulaman sasar bangkit semula, fokus perniagaan teras selepas kerugian RM16.8 juta bagi FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bina Darulaman sasar bangkit semula, fokus perniagaan teras selepas kerugian RM16.8 juta bagi FY25

CHE ABDUL KHALID Md Din (empat dari kanan) serta ahli-ahli Lembaga Pengarah Bina Darulaman Berhad (BDB) bergambar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BDB ke-31 di Alor Setar, Kedah.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 AprilBina Darulaman Berhad (BDB) kini memberi tumpuan penuh kepada pemulihan operasi dengan menyasarkan pengukuhan perniagaan teras sebagai pemacu kebangkitan pada 2026.


Menurut kumpulan pegangan pelaburan tersebut dalam kenyataan, langkah transformasi itu dirangka bagi mengembalikan keuntungan selepas kerugian bersih RM16.8 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2025.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Che Abdul Khalid Md Din berkata, tahun ini merupakan tempoh penting dalam usaha syarikat berkenaan membina asas yang lebih kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang.


“Fokus utama kami kepada pemulihan operasi, kecekapan pelaksanaan dan membina semula keyakinan pemegang taruh syarikat ini,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 BDB di Alor Setar, Kedah.


Menurut beliau, kumpulan akan fokus kepada empat segmen teras iaitu pembinaan jalan dan kuari, hartanah, kejuruteraan dan pembinaan (E&C) serta rekreasi sebagai asas kepada pemulihan yang lebih mampan.


Pada masa sama tambah Che Abdul Khalid, syarikat tersebut akan memperketatkan pengurusan kos dan melaksanakan strategi perniagaan berimpak tinggi bagi memastikan pulangan yang semakin lebih baik.

 

Bina Darulaman Berhad_DagangNews


Mengulas perancangan 2026 ujarnya, BDB akan lebih agresif mendapatkan projek berkualiti dalam sektor awam dan swasta, selain memperkukuh kerjasama strategik termasuk agensi pembangunan negeri.


"Kumpulan ini juga kini berusaha memperluas peranan daripada sekadar pemaju perumahan kepada penyedia infrastruktur kawasan industri, serta mengukuhkan kedudukan dalam segmen E&C," katanya.


Bagi segmen hartanah, fokus kepada projek sedia ada seperti Darulaman Saujana, Hosba, Aman Nusa, Langkawi dan Bandar Darulaman, Jitra, selain pembangunan baharu Darulaman Commercial District.


Dalam segmen rekreasi, usaha pengoptimuman aset seperti Darulaman Sanctuary, The LAB di Langkawi serta Fantasia Aquapark akan dipertingkat, termasuk penambahbaikan tarikan di Darulaman Park.


BDB dalam kenyataan itu berkata, meskipun berdepan kerugian pada FY25 akibat kelewatan pelancaran projek hartanah dan tekanan margin projek infrastruktur, ia masih mencatat pendapatan positif.


"Hasil sepanjang tahun kewangan tersebut meningkat kepada sebanyak RM330.71 juta berbanding hanya kira-kira RM294.74 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya," jelas kumpulan berkenaan lagi.


Langkah pemfokusan semula kepada kekuatan teras ini dilihat sebagai strategi penting bagi memastikan BDB kembali ke landasan keuntungan dan kekal berdaya saing dalam jangka panjang. - DagangNews.com