Bina Darulaman rugi bersih RM16.8 juta bagi FY25 berikutan kelemahan pasaran hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bina Darulaman rugi bersih RM16.8 juta bagi FY25 berikutan kelemahan pasaran hartanah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 AprilBina Darulaman Berhad mencatatkan kerugian bersih yang boleh diagihkan kepada pelaburnya sebanyak RM16.80 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).


Prestasi rendah itu berpunca daripada beberapa faktor utama di permulaan tahun tinjauan berkenaan, termasuk penyerapan pasaran yang lemah dan penangguhan pelancaran dalam segmen hartanah syarikat. 


Selain itu jelasnya, margin turut berkurangan daripada pelbagai projek infrastruktur legasi yang hampir siap namun pendapatan meningkat kepada RM330.71 juta berbanding RM294.74 juta pada FY24.


"Keuntungan turut terkesan oleh kos pendahuluan bagi usaha niaga baharu yang terpilih dan asas kos tetap lebih tinggi berbanding penjanaan hasilnya," maklum Bina Darulaman kepada Bursa Malaysia.


Secara keseluruhan jelasnya, kumpulan itu mencatatkan kerugian selepas cukai mencecah RM16.8 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM2.54 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.


Meskipun berdepan persekitaran operasi yang mencabar, segmen kejuruteraan, pembinaan, pembinaan jalan dan kuari kekal menjadi tulang belakang kumpulan dengan menyumbang lebih 90% daripada hasil.


Bagi menangani situasi lemah tersebut, pihak pengurusan Bina Darulaman sudah melaksanakan pelbagai program mitigasi dan penstabilan aliran tunai antaranya merangkumi pengukuhan kutipan hutang.


Kumpulan berkenaan juga melakukan kawalan ketat perbelanjaan budi bicara, serta program penguapan aset yang mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengarah untuk memastikan kedudukan kewangan stabil.


"Melangkah ke hadapan, syarikat menetapkan FY26 sebagai tahun penstabilan dan penetapan semula dengan memberi keutamaan kepada kepastian aliran tunai dan perlindungan kunci kira-kira," katanya.


Pendekatan itu kata Bina Darulaman berbeza daripada strategi pengembangan agresif, dan bertujuan membina semula keyakinan pelabur mengenai prospek mampan jangka masa sederhana. - DagangNews.com