KUALA LUMPUR 17 April — Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, Aman Lagenda Sdn Bhd (ALSB), bakal membangunkan sebuah hab antarabangsa untuk persaraan, kehidupan warga emas dan perkhidmatan kehidupan yang dibantu di Langkawi, Kedah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, projek baharu yang tidak dinyatakan kos itu dimajukan menerusi pemeteraian perjanjian usaha sama dan pemegang saham (JVSA) dengan Seterra Holdings Sdn Bhd serta komited melaksanakan pelbagai langkah perlu.
Katanya, syarat duluan (CP) mesti dipenuhi dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian, dengan lanjutan enam bulan seara automatik jika perlu. JVSA merupakan sebahagian daripada kemajuan projek berikutan usaha BDB yang diumumkan pada 8 Ogos 2024.
"Syarikat tersebut akan menyediakan kemas kini tetap mengenai kemajuan JVSA," katanya. Menerusi makluman berasingan, BDB berkata, ia telah melancarkan Aman Seterra Sanctuary sebagai tempat perlindungan persaraan berinspirasikan Islam global pertama di dunia.
Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, projek yang terletak di Kuala Temoyong, Langkawi itu sejajar dengan perkembangan pesat 'ekonomi perak' untuk golongan tua yang dijangka melepasi AS$9.1 trilion (kira-kira RM8.37 trilion) menjelang 2029.

Projek tersebut kata beliau, yang berkeluasan lebih lima hektar dan merupakan pertama seumpamanya di Malaysia, bakal disesuaikan untuk memberi perkhidmatan kepada pesara antarabangsa dan warga emas tempatan bagi menghabiskan sisa umur mereka dengan baik.
Sanctuary Aman Seterra jelasnya, menyepadukan kehidupan berdikari, penjagaan dibantu dan sokongan secara jangka panjang dalam satu komuniti yang dibina khas dengan turut menggabungkan pelbagai prinsip reka bentuk mesra alam, taman komuniti, dan kawasan hijau terbuka.
"Kawasan khas ini menawarkan kepada pesara kepada suasana persekitaran gaya peranginan yang tenang dengan keselesaan kehidupan moden berasaskan Islam, pada titik harga berpatutan demi memenuhi tuntutan golongan tua yang semakin bertambah setiap tahun," kata Raja Shahreen.
Beliau turut bertukar-tukar dokumen JVSA tersebut dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra, Rashidi Yahaya yang turut disaksikan Pengerusi BDB, Che Had Dhali dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Seterra, M. Yusof Ahamad di Alor Setar, Kedah hari ini. - DagangNews.com








