BIMB Securities: Permintaan tinggi projek penukaran kapal pacu pemulihan Malaysia Marine & Heavy Engineering | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BIMB Securities: Permintaan tinggi projek penukaran kapal pacu pemulihan Malaysia Marine & Heavy Engineering

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 April — Permintaan tinggi terhadap projek penukaran kapal yang bernilai tinggi kini menjadi pemangkin utama pemulihan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB).


BIMB Securities dalam nota analisisnya berkata, situasi positif itu sekali gus mengubah landskap pertumbuhan syarikat kejuruteraan luar pesisir dan limbungan kapal tersebut dalam tempoh terdekat.


Tambah firma penyelidikan itu, segmen marin dilihat sebagai pemacu baharu kumpulan yang semakin signifikan, disokong momentum pendapatan kukuh serta peningkatan saluran projek bernilai tinggi.


“Peralihan struktur kepada aktiviti penukaran yang memang bernilai tinggi masih belum 'dihargai' sepenuhnya oleh pasaran, walaupun ia memberi impak positif kepada keuntungan lebih tinggi,” katanya.


Bagi tahun kewangan 2025 jelas BIMB Securities, segmen marin dikendalikan MHB berjaya mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 33% tahun ke tahun (YoY) kepada RM560 juta, paras tertinggi direkodkan.


Prestasi berkenaan ujar firma tersebut, didorong oleh projek penukaran unit terapung seperti FPSO dan FSO, selain sumbangan stabil daripada aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan kapal-kapal lama.


Segmen ini tambahnya, turut didapati mampu menjana keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM63 juta, sekali gus menyumbang kira-kira separuh daripada keseluruhan pendapatan kumpulan berkenaan.


"Setakat akhir FY25, buku tempahan segmen marin MHB dianggarkan sudah mencecah sekitar RM600 juta, memberikan keterlihatan pendapatan yang baik dalam jangka pendek," jelas BIMB Securities.

 

MHB_DagangNews


Sebahagian besar daripada projek berkenaan kata firma penyelidikan itu, dijangka datang daripada kerja penukaran kapal untuk MISC Berhad, termasuk projek FPSO Kelidang dan FSO Papua New Guinea.


Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Hanwha Power Systems Co Ltd bagi meneroka pembinaan kapal serta projek penukaran dan naik taraf.


Di bawah kerjasama tersebut tambah BIMB Securities, MHB akan menyediakan kemudahan limbungan dan pemasangan, manakala rakan strategiknya pula menyumbang kepakaran kejuruteraan dan perolehan.


"Kami melihat pemeteraian MoU ini sebagai langkah kerjasama strategik ke arah usaha merealisasikan aspirasi kumpulan berkenaan untuk menjadi limbungan kapal premium menjelang 2030," jelasnya lagi.


Secara keseluruhan, buku tempahan kumpulan tersebut kekal kukuh pada RM4.6 bilion, mencerminkan pendekatan pengurusan risiko yang berdisiplin serta peningkatan penggunaan kapasiti limbungan.


Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham MHB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada 94 sen, bersamaan kira-kira satu kali nilai buku bagi unjuran FY26.


Ujar firma berkenaan, gabungan pemulihan keuntungan secara konsisten dan penilaian yang masih rendah terhadap saham syarikat tersebut menyokong prospek pelaburan positif bagi kumpulan itu.


"Secara keseluruhan, transformasi segmen marin dilihat sebagai titik perubahan penting kepada syarikat memanfaatkan peluang pertumbuhan industri yang semakin berkembang," katanya. - DagangNews.com