Bidaan Gamuda di Singapura 20%-46% lebih tinggi, permintaan kukuh jadi justifikasi - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bidaan Gamuda di Singapura 20%-46% lebih tinggi, permintaan kukuh jadi justifikasi - penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Sept – Walaupun bidaan Gamuda Berhad bagi pembangunan bercampur di Singapura adalah 20% hingga 46% lebih tinggi berbanding dua pesaing lain, ia masih diterima di negara itu.


CGS International (CGSI) berpandangan, justifikasi kukuh diberikan berdasarkan kepada potensi pasaran, lokasi matang serta permintaan yang terbukti amat kukuh di kawasan projek baharu tersebut.


Firma penyelidikan itu menyifatkan kejayaan Gamuda mengetuai konsortium memenangi tender bernilai S$1.01 bilion (kira-kira RM3.33 bilion) ini sebagai langkah strategik syarikat berkenaan.


"Ia memperkukuh kehadiran kumpulan ini dalam pasaran hartanah rentas sempadan, selari dengan strategi Projek Pusingan Cepat (QTP) yang semakin berkembang," katanya dalam satu nota hari ini.


Tanah pegangan pajakan 99 tahun itu dijangka dibangunkan dengan 875 unit kediaman dan 12,600 meter persegi ruang komersial, melibatkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.9 bilion.


Jarak lokasi ini juga jelas CGSI, terletak hanya 450 meter dari Stesen MRT Khatib, bersebelahan terminal bas dan sekolah, serta berhampiran dengan pusat beli-belah utama Northpoint City.


Menurutnya, harga jualan purata (ASP) disasarkan sekitar S$2,000 (RM6,524) kaki persegi (psf), setanding dengan pembangunan berdekatan oleh Guocoland yang mencapai S$2,200 (RM7,177) psf.


"Kos pembinaan utama dianggarkan S$448 (RM1,461) psf, dengan margin keuntungan dijangka dua angka rendah," kata CGSI mengekalkan saranan 'tambah' dan menetapkan harga sasaran (TP) RM7.30 sesaham.


Artikel berkaitan: Gamuda peroleh tender pembangunan bercampur di Singapura bernilai RM3.3 bilion


Sementara itu, MBSB Research melihat perkembangan ini secara positif, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kesinambungan pengukuhan strategi QTP Gamuda di peringkat serantau.


Firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' dengan TP juga tidak berubah kepada RM6.35 sesaham berdasarkan kepada penilaian pelbagai potensi projek terbaharu di Yishun itu.


"Ia bakal menjadi salah satu daripada beberapa projek utama dalam portfolio QTP Gamuda, dengan pelancaran dijangka pada November 2026," kata firma penyelidikan berkenaan.


MBSB Research menambah, penglibatan rakan usaha sama iaitu Evia MCS (30%) dan H108 Pte Ltd (20%) menunjukkan kesinambungan dan pengalaman bersama dalam pasaran hartanah Singapura.


Ia berkata, meskipun sebahagian kos pengambilalihan tanah mungkin dibiayai melalui pinjaman bank, ini tidak akan memberi kesan material kepada struktur kewangan Gamuda.


Pelaburan tersebut berada di luar lembaran imbangan dan Gamuda berada di landasan menyasarkan jualan hartanah sebanyak RM5.5 bilion pada FY26, disokong oleh projek QTP di Vietnam.


Pada masa sama, ia dibantu pelancaran projek pertengahan dan mewah di Malaysia bernilai lebih RM2 bilion selain memuktamadkan sehingga lima perjanjian di Vietnam dengan anggaran GDV RM6 bilion.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma melihat kemenangan Gamuda di Singapura bukan sekadar perluasan pasaran, tetapi merupakan pencapaian strategik yang memperkukuh keupayaan kumpulan di rantau ini.


Dengan tumpuan terhadap projek berimpak tinggi dan perancangan kewangan yang berdisiplin, Gamuda berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran pendapatan hartanah RM10 bilion menjelang FY28.


Dengan strategi QTP semakin mantap di Malaysia, Vietnam dan kini Singapura, Gamuda berada di landasan kukuh mencapai sasaran RM10 bilion hasil segmen hartanah menjelang FY28. - DagangNews.com