KUALA LUMPUR 28 Ogos – Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) bakal dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2 September 2026, susulan selesainya proses penswastaan syarikat itu oleh pemegang saham utamanya, Boustead Holdings Bhd (BHB).
Berdasarkan pekeliling yang diedarkan pada Khamis, BHIC akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd pada jam 9 pagi Rabu depan, selaras dengan Perenggan 16.07(b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Penyahsenaraian itu menandakan berakhirnya status syarikat tersebut sebagai entiti tersenarai selepas hampir dua dekad berada di pasaran saham tempatan sejak penyenaraiannya pada 2007.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini, syarikat itu memberitahu, dagangan saham BHIC telah digantung pada 7 Ogos lalu ketika syarikat itu meneruskan pelaksanaan skim pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih (SCR).
Di bawah skim tersebut, pemegang saham minoriti menerima pembayaran balik tunai sebanyak 48 sen bagi setiap saham yang dipegang, sebagai sebahagian daripada pembayaran berjumlah RM149.59 juta yang turut melibatkan pemegang saham keutamaan tertentu.
Tarikh kelayakan bagi pembayaran itu ditetapkan pada 10 Ogos, manakala 6 Ogos merupakan hari dagangan terakhir bagi saham BHIC.
Proses penswastaan BHIC bermula apabila syarikat itu menerima cadangan daripada BHB pada 10 Februari lalu.
Cadangan tersebut kemudiannya mendapat kelulusan daripada pemegang saham dan pemegang saham keutamaan pada 29 April, sebelum diluluskan oleh Mahkamah Tinggi pada 1 Julai.
Sebelum pelaksanaan penswastaan itu, BHB memiliki 72.38% pegangan langsung dalam BHIC dan secara kolektif memegang 74.71% bersama syarikat induknya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Susulan pelaksanaan SCR dan penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia, BHIC akan menjadi anak syarikat milik penuh BHB.
BHIC juga menjadi syarikat terbaharu yang mempunyai kaitan dengan LTAT dan BHB untuk diambil alih secara persendirian.
BHB sendiri telah diswastakan pada Jun 2023, diikuti Boustead Plantations pada Januari 2024, mencerminkan usaha berterusan untuk menyusun semula portfolio syarikat di bawah kumpulan berkaitan LTAT. - DagangNews.com








