KUALA LUMPUR 29 Ogos – Jenama teh tempatan, Beutea Holdings Sdn Bhd mahu memperluaskan operasi dengan sasaran mengembangkan rangkaian kedai daripada hanya 70 kepada hampir 300 cawangan.
Syarikat berpusat di ibu negara itu berhasrat memanfaatkan potensi besar dalam pasaran halal Malaysia yang dianggarkan bernilai RM146.6 bilion pada ketika ini dengan permintaan amat tinggi.
Beutea merupakan antara barisan baharu jenama gaya hidup yang menggabungkan budaya teh tradisional dengan pilihan berasaskan kesihatan, sekali gus menepati cita rasa pengguna moden di bandar besar.
“Kami bersedia untuk memperluaskan kehadiran kami di pusat beli-belah, hab gaya hidup serta saluran digital di seluruh Malaysia,” kata Pengarah Eksekutif Beutea, Jess Wong dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, kerjasama strategik, kemasukan mantap ke dalam pasaran halal, serta komitmen memartabatkan budaya teh tulen adalah antara faktor utama yang memacu pertumbuhan fasa seterusnya.
Katanya, usaha syarikat itu serius memperoleh pensijilan halal secara menyeluruh untuk cawangan baharu merupakan tunjang kepada strategi perniagaannya, sejajar dengan keutamaan ekonomi negara.
Sektor halal kata Wong, menyumbang 7.7% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dan di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030, eksport produk itu disasarkan boleh mencecah RM300 bilion.
"Memandangkan makanan dan minuman dijangka kekal pemacu utama, Beutea merancang meluaskan rangkaian kafe serta penjualan produk bungkusan melalui saluran runcit dan pengedaran," kata beliau.
Tidak seperti pesaing premium lain, Beutea tambahnya, menampilkan harga mampu milik tanpa kualiti dikorbankan, menjadikannya lebih mudah diakses oleh sebahagian besar pengguna jenis arus perdana.
Di samping itu, program kesetiaan digital dilaksanakan oleh syarikat tersebut juga kata Wong, dilihat telah berjaya mengekalkan pelanggan dalam pasaran minuman yang semakin tepu di Malaysia.
Antara pencapaian utama syarikat berkenaan ialah kejayaan penjualan lebih satu juta cawan Jasmine Grape Tea dalam tempoh 12 bulan, yang mencecah 1,029,121 cawan antara Mei 2024 hingga April 2025.
"Ini melayakkan Beutea menerima rekod ASEAN beberapa bulan lalu dan menuju ke hadapan, Beutea merancang memperkenalkan set teh gaya hidup unik, aksesori moden, serta produk baharu," katanya.
Ia berasaskan kepada tema kesejahteraan seperti teh daun longgar serta campuran botani yang diberi formula khas untuk proses penghadaman, ketenangan, dan tumpuan penuh kepada para penggunanya.
Wong menambah, bagi menyahut permintaan terhadap pilihan lebih sihat, Beutea turut menawarkan gula alternatif yang bersifat sifar kalori dan susu rendah lemak dalam penyajian di kesemua cawangan.
Jenama ini juga berhasrat menembusi pasaran global, bermula dengan pembukaan cawangan antarabangsa pertama di Singapura, diikuti perluasan ke Australia, Jepun, Vietnam, Thailand dan Mauritius.
"Kami bersedia membuka pelbagai format termasuk kios, cawangan di pusat beli-belah, kedai utama dan kafe konsep dengan kombinasi unik antara budaya tradisional serta inovasi kesihatan," katanya.
Beliau yakin, menerusi usaha penjenamaan gaya hidup, Beutea mampu meraih permintaan domestik dan serantau yang menjadi pemangkin pertumbuhan agresif dalam fasa seterusnya. - DagangNews.com








