Betamek, Pecca jalin kerjasama strategik bangunkan sistem hiburan digital penerbangan dan rel | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Betamek, Pecca jalin kerjasama strategik bangunkan sistem hiburan digital penerbangan dan rel

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 OktBetamek Berhad melalui Betamek Research Sdn Bhd (BRSB) menjalin kerjasama strategik dengan Pecca Aviation Services Sdn Bhd (PASSB) anak syarikat di bawah Pecca Group Berhad.


Ia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang menandakan permulaan kolaborasi dua syarikat dalam bidang penyelidikan, reka bentuk, pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialan.


Kerjasama berkenaan membabitkan sistem Hiburan Dalam Penerbangan (IFE) dan Hiburan Dalam Kereta Api (ITE), khususnya di pasaran rantau Asia Pasifik dengan BRSB akan memimpin pembangunan teknologi.


"Ini termasuk antara muka digital, terminal hiburan dan sistem pengurusan kandungan disesuaikan untuk kegunaan dalam pesawat dan tren," kata Betamek dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu, PASSB akan menumpukan pada aspek integrasi sistem ini ke dalam tempat duduk dan platform kabin, dengan jaminan pematuhan kepada standard antarabangsa industri penerbangan dan rel.


Kerjasama ini turut merangkumi aspek pembangunan prototaip, ujian fungsi serta pengesahan sistem secara bersama, selain memanfaatkan jaringan industri PASSB untuk mempercepat kemasukan ke pasaran.


Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani menyifatkan kolaborasi ini sebagai langkah penting perluasan ke luar sektor automotif, sambil menekankan potensi besar industri pengangkutan.


"Perkembangan teknologi semasa didapati semakin menuntut kepada rumusan hiburan digital yang pintar dan lestari serta berkualiti terbaik kepada pelanggan kami dalam jangka panjang," kata beliau.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pecca Group, Hugo Teoh berkata, pengguna masa kini semakin ingin keselesaan, keterhubungan dan kemudahan dalam perjalanan yang disasarkan melalui sinergi teknologi.


Beliau yakin MoU tersebut bukan sahaja menyokong strategi pertumbuhan baharu, malah selari dengan aspirasi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi canggih serantau masa depan.


"Kerjasama ini juga menekankan pendekatan berteraskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urusa (ESG) dalam pembangunan sistem hiburan yang lebih cekap tenaga serta mesra alam," jelasnya lagi.


Dengan penyepaduan kepakaran dalam elektronik, reka bentuk kabin dan teknologi pintar, Betamek dan Pecca dilihat bersedia memenuhi lonjakan permintaan global terhadap rumusan hiburan digital.


Dua syarikat tersebut yang turut berpengalaman luas yakin sektor penerbangan dan rel mampu menjadi satu pasaran bernilai tinggi serta kini sedang berkembang pesat di Asia Pasifik. - DagangNews.com