KUALA LUMPUR 21 Mei – Betamek Berhad mencatat prestasi kewangan tertinggi dalam sejarah syarikat apabila keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26) melonjak 67.1% kepada RM8.43 juta berbanding RM5.04 juta setahun lalu, dipacu oleh jualan lebih tinggi dan margin yang bertambah baik.
Dalam tempoh sama, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 31.9% kepada RM9.57 juta manakala hasil kumpulan naik 10.5% kepada RM66.03 juta berbanding RM59.74 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Betamek berkata prestasi tersebut turut disokong oleh peningkatan margin keuntungan kasar apabila kumpulan mencatat untung sebanyak RM15.39 juta, meningkat 46.5%, dengan margin kasar bertambah kepada 23.3% berbanding 17.6% sebelum ini.
“Bagi keseluruhan tahun kewangan 2026 (FY2026), Betamek merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah syarikat apabila meningkat 15.6% kepada RM275.51 juta berbanding RM238.30 juta pada FY2025.
“Keuntungan kasar tahunan pula melonjak 56.7% kepada RM58.85 juta, manakala PBT meningkat 26.4% kepada rekod RM40.41 juta, disokong prestasi operasi yang lebih efisien dan struktur kos yang lebih terkawal.
“Keuntungan selepas cukai FY2026 turut meningkat 32% kepada RM33.15 juta, sekali gus mencerminkan peningkatan kualiti pendapatan kumpulan serta kecekapan operasi yang lebih baik sepanjang tahun,” katanya.
Betamek menjelaskan FY2025 turut menerima keuntungan tidak berulang (one-off gain) daripada konsolidasi sebanyak RM6.32 juta dan jika dilaraskan tanpa item tersebut, pertumbuhan asas FY2026 adalah lebih kukuh.
Jualan Eksport Kukuh
Dari segi pecahan segmen, produk audio dan video kenderaan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM173.19 juta atau 62.9% daripada jumlah hasil, diikuti aksesori kenderaan sebanyak RM75.24 juta atau 27.3%.
Segmen modul sambungan pula menyumbang RM7.67 juta, mencerminkan peningkatan penyertaan kumpulan dalam platform kenderaan yang mempunyai kandungan elektronik lebih tinggi.
Kumpulan turut merekodkan kemajuan dalam strategi untuk mempelbagaikan pendapatan apabila pelanggan bukan utama kini menyumbang sekitar 18% daripada jumlah hasil, mengurangkan kebergantungan terhadap akaun teras tradisional.
Jualan eksport pula menyumbang sekitar 12% daripada hasil kumpulan, disokong permintaan dari Hong Kong dan Jepun, sekali gus memperkukuh usaha pengembangan pasaran luar negara.

Prospek Kekal Berhati-Hati Tetapi Positif
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata FY2026 merupakan tahun rekod bagi kumpulan dengan pertumbuhan yang dicapai merentasi hasil, untung kasar dan keuntungan bersih.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan kekuatan pelaksanaan operasi, daya tahan permintaan automotif serta keberkesanan strategi kumpulan dalam meningkatkan campuran produk dan kecekapan kos.
“Peningkatan sumbangan pelanggan bukan utama kepada 18% serta eksport sekitar 12% menunjukkan usaha diversifikasi kami mula membuahkan hasil,” katanya.
Tambah beliau, kumpulan akan terus memperkukuh kedudukan dalam sektor elektronik automotif sambil meneroka peluang dalam segmen berasaskan teknologi yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Sejajar komitmen terhadap pulangan pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.25 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen FY2026 meningkat kepada 4.75 sen sesaham berbanding 4.25 sen pada FY2025, dengan tarikh pembayaran pada 19 Jun 2026 dan tarikh kelayakan pada 9 Jun 2026.
Melangkah ke hadapan, kumpulan kekal optimis secara berhati-hati dengan prospek industri automotif Malaysia yang dijangka kembali normal pada 2026 selepas tahun rekod 2025, menurut jangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Namun begitu, Betamek menjangkakan permintaan kenderaan mampu milik serta peningkatan kandungan elektronik dalam kenderaan moden akan terus menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Secara keseluruhan, prestasi FY2026 menunjukkan pengukuhan asas perniagaan Betamek yang bukan sahaja mencatat pertumbuhan pendapatan, malah meningkatkan margin, kepelbagaian pelanggan dan kehadiran eksport secara berperingkat. - DagangNews.com








