Betamek, Jiangsu dari China bekerjasama bangunkan teknologi pengecasan EV terkini di ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Betamek, Jiangsu dari China bekerjasama bangunkan teknologi pengecasan EV terkini di ASEAN

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Okt Betamek Berhad dan Jiangsu Yibang New Energy Technology Co Ltd dari China bekerjasama membangunkan rumusan teknologi pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pasaran ASEAN.


Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) automotif itu berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) usaha ini dimeterai melalui anak syarikat milik penuhnya, Betamek Research Sdn Bhd (BRSB).


Katanya, langkah itu membuka laluan kepada kerjasama strategik merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknikal, pembuatan kontrak dan logistik serta pengurusan rantaian bekalan.


"MoU ini melibatkan pembangunan teknologi pengecasan kenderaan tenaga baharu (NEV) yang sejajar aspirasi Malaysia memacu peralihan kepada teknologi hijau," maklum Betamek kepada Bursa Malaysia.


Jiangsu dipilih kerana diiktiraf sebagai perusahaan teknologi tinggi China, merupakan pengeluar terkemuka untuk sistem penukar komunikasi EV dan pengawal komunikasi peralatan bekalan (SECC).


Syarikat tersebut katanya, banyak membekalkan rumusan teknologi moden berkenaan kepada nama-nama besar sektor automotif seperti Perodua, Vinfast, Mitsubishi dan Jiangling Motors Corporation.


Melalui kerjasama ini, Betamek akan menjadi pengeluar dan pemasang eksklusif peranti EVCC dan SECC untuk pasaran ASEAN, sekali gus mengukuh keupayaan tempatan dalam teknologi pengecasan EV.


"Alat ini mematuhi piawaian antarabangsa seperti TÜV Rheinland, dengan kemudahan pembuatan baharu akan dibangunkan Betamek di Malaysia yang menepati standard pematuhan tinggi Yibang," katanya.


Matlamat utama kumpulan tersebut tambahnya, turut mempercepatkan masa ke pasaran untuk produk EV di rantau ASEAN dengan dilengkapi teknologi EVCC dan SECC terbaik yang juga bertaraf global.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, kerjasama syarikat tersebut dengan Jiangsu merupakan satu lonjakan penting dalam peluasan strategik jangka panjang.


"MoU ini mengukuhkan kedudukan kami dalam ekosistem EV dan menyokong pertumbuhan penggunaan EV di Malaysia dan ASEAN. Ini selari strategi kami mempelbagaikan operasi teknologi hijau,”* ujarnya.


Dalam pada itu, Pengurus Besar Jiangsu, Ma TianYi, menyatakan keyakinan tinggi syarikat berkenaan terhadap kerjasama dengan Betamek sebagai saluran mempercepatkan skala pengeluaran produknya.


MoU ini juga akan berfungsi sebagai rangka kerja awal kepada perjanjian komersial jangka panjang, dengan Perjanjian Definitif yang bakal dimeterai dua pihak itu dalam tempoh 12 bulan akan datang.


"Bersama Betamek, kami dapat memenuhi permintaan EV serantau dengan rumusan patuh standard dan boleh dipercayai dengan kepakaran Jiangsu dalam teknologi pengecasan bermutu tinggi," katanya.


Ia meyakini keupayaan pembuatan Betamek yang terbukti dalam industri automotif dan kerjasama ini dijangka mempercepat penembusan pasaran EV serta menambah nilai pertumbuhan jangka panjang.


Pada masa sama, MoU itu mengukuh pelaburan berterusan Betamek, dan meletakkannya dalam posisi unik sebagai pemain tempatan berpotensi besar rantai nilai pengecasan EV ASEAN. - DagangNews.com