KUALA LUMPUR 22 April – Risiko utama kepada prospek Betamek Berhad kekal tertumpu kepada kebergantungan tinggi terhadap Perodua yang menyumbang sebahagian besar hasil syarikat itu, kata Malacca Securities.
Selain itu, Betamek juga berdepan risiko kitaran industri automotif, tekanan margin daripada OEM serta ketidaktentuan permintaan sekiranya jualan kenderaan menurun akibat faktor ekonomi atau gangguan rantaian bekalan.
Tambah Malacca Securities, risiko persaingan dalam industri komponen automotif juga semakin meningkat dengan kemasukan pemain baharu serta tekanan harga daripada pelanggan OEM yang secara konsisten menuntut penurunan kos komponen.
“Kebergantungan kepada satu segmen pelanggan utama turut meningkatkan risiko pendapatan sekiranya berlaku perubahan strategi produk atau model oleh Perodua.
“Tambahan pula, risiko pelaksanaan terhadap inisiatif pertumbuhan baharu seperti segmen kenderaan elektrik (EV), eksport serta kerjasama teknologi masih berada di peringkat awal dan berdepan cabaran pensijilan, penerimaan pasaran serta keperluan pelaburan tambahan sebelum dapat menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kumpulan,” kata Malacca Securities dalam nota kajiannya.
Namun begitu, Malacca Securities berpandangan bahawa risiko tersebut masih diimbangi oleh kedudukan Betamek sebagai pembekal utama komponen elektronik automotif kepada Perodua yang terus mengekalkan penguasaan pasaran kukuh di Malaysia.
Syarikat itu turut disokong oleh kontrak bekalan jangka panjang bernilai RM176 juta bersama Perodua yang dijangka memberikan keterlihatan pendapatan yang stabil sehingga beberapa tahun akan datang.
“Dari segi prospek pertumbuhan, Betamek dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang dipacu oleh peningkatan volum pengeluaran kenderaan nasional yang diunjurkan terus berkembang sehingga mencecah 1 juta unit menjelang 2030.
“Selain itu, peningkatan margin keuntungan kasar turut menjadi faktor utama dalam prospek syarikat, dipacu oleh campuran produk lebih bernilai tinggi seperti sistem audio dan infotainment kenderaan.
“Kecekapan operasi di fasiliti Rawang dan Sungai Petani juga dijangka menyokong pengembangan margin, terutamanya apabila operasi memasuki penggunaan kapasiti lebih tinggi melalui model dua syif,” kata firma tersebut.
Dari sudut kewangan, Betamek menunjukkan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dengan kedudukan tunai bersih yang tinggi serta tahap hutang yang minimum, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada syarikat untuk terus memberi pulangan kepada pemegang saham.
Syarikat ini juga kekal sebagai antara saham dengan hasil dividen yang menarik di pasaran ACE, dengan anggaran pulangan dividen sekitar 10% berdasarkan unjuran pembayaran dividen masa hadapan.
Dalam masa yang sama, usaha kepelbagaian pendapatan turut giat dijalankan apabila bahagian bukan Perodua dan eksport menunjukkan peningkatan ketara, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap satu pelanggan utama.
Betamek turut mula meneroka segmen baharu seperti kenderaan elektrik (EV) melalui pembangunan sistem EV Charging Controller bersama rakan teknologi, yang berpotensi membuka aliran pendapatan baharu pada masa depan.
Selain sektor automotif, syarikat juga meneroka peluang dalam industri berkaitan seperti sistem hiburan penerbangan dan rel melalui kerjasama strategik yang sedang dibangunkan.
Dari segi penilaian, Malacca Securities menetapkan sasaran harga sekitar RM0.865 sesaham bagi Betamek, berbanding harga semasa RM0.59 yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 46.6%, disokong oleh jangkaan pertumbuhan pendapatan yang stabil, pengembangan margin keuntungan serta penilaian yang masih rendah berbanding rakan industri.- DagangNews.com








