KUALA LUMPUR 28 Nov – Bermaz Auto Berhad mengesahkan yang syarikat itu tidak lagi menjadi pengedar rasmi untuk pelbagai model kenderaan jenama Kia di Malaysia berkuat kuasa dengan serta-merta
Kumpulan itu berkata, ia susulan keputusan Kia Corporation di Korea Selatan yang memutuskan untuk menyusun semula rangkaian pengedaran dan menubuhkan syarikat jualan nasional sendiri di negara ini.
Anak syarikat Bermaz yang dimiliki 65%, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM) sebelum ini memegang perjanjian pengedaran, perkhidmatan, jaminan dan lain-lain bersama Kia serta Kia Malaysia Sdn Bhd.
"Perjanjian ini sepatutnya berakhir antara 2026 hingga 2027, namun ditamatkan awal setelah kami menandatangani memorandum persetujuan pada 28 November 2025," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Menurut Bermaz, penamatan tersebut dibuat secara bersama selaras dengan strategi baharu Kia sendiri untuk mengendalikan terus operasi pengedarannya di seluruh Malaysia tanpa melibatkan pihak lain.
Bagaimanapun jelasnya, DJM akan terus bekerjasama dengan Kia berdasarkan tarikh peralihan yang sudah dipersetujui mereka bagi memastikan proses transisi selepas itu akan berjalan secara lancar.
Situasi tersebut kata kumpulan berkenaan, termasuk tidak menjejaskan segala perkhidmatan kenderaan, bekalan alat ganti, jaminan serta sokongan selepas jualan kepada pemilik Kia yang sedia ada.
"Bermaz turut menegaskan bahawa penghentian peranan DJM sebagai pengedar Kia tidak dijangka memberi kesan kewangan atau operasi yang material kepada kumpulan bagi tahun kewangan semasa," katanya.
Kumpulan itu yang ditubuhkan pada 1987, turut mengedarkan jenama Mazda menerusi anak syarikatnya, Bermaz Motor Sdn Bhd, manakala Kia pula baru bermula sejak 2021. - DagangNews.com








