KUALA LUMPUR 17 Jun — Berjaya Land Berhad mula meneroka peluang perniagaan penanaman pokok durian daripada baka terbaik Blackthorn dan rumput hibrid jenis Napier secara besar-besaran di Perlis.
Kumpulan itu berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada komitmennya terhadap pertanian mampan, menyokong industri lembu dan tenusu serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi asas tani.
Bagi memajukan usaha itu, ia bekerjasama dengan Impianan Utara Sdn Bhd untuk membangunkan ladang serta turut meneroka potensi perlombongan bagi unsur nadir bumi dan mineral lain di Perlis.
"Kedua-dua inisiatif ini akan dijalankan dengan mendapat kerjasama daripada bahagian pelaburan kerajaan negeri itu, Menteri Besar Incorporated (MBI) Perlis," kata Berjaya Land dalam kenyataan.
Buah varieti Blackthorn, terkenal dengan rasa yang kaya serta permintaan kukuh pasaran tempatan dan antarabangsa, manakala rumput Napier dipilih kerana tumbuh cepat dan menghasilkan hasil tinggi.
Menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) strategik antara kedua-dua pihak, ia akan diusahakan untuk menyokong penternakan ternakan dan menyumbang keterjaminan makanan Malaysia.
Tambah Berjaya Land, dua projek tersebut dijangka memberikan manfaat yang lebih luas untuk Perlis, termasuk aliran hasil baharu, penciptaan pekerjaan dan peningkatan aktiviti ekonomi negeri itu.
"Hasil daripada ladang ini akan dikongsi dengan kerajaan negeri melalui perjanjian MBI dengan Impianan Utara, di samping sumbangan tambahan melalui bayaran pajakan secara tahunan," katanya.
Selain itu ia berkata, di luar penjanaan pendapatan, aktiviti perladangan durian juga bersedia untuk merangsang industri pemprosesan tani hiliran dan meningkatkan potensi eksport Perlis sendiri.
Sementara komponen perlombongan mineral pula katanya, sejajar dengan cita-cita Malaysia menjadi peneraju dan pemain bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam industri nadir bumi sejagat.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed berkata inisiatif berkenaan lebih daripada sekadar aliran pendapatan baharu kepada perniagaan mereka.
"Kami melihat nilai bukan sahaja dalam projek itu sendiri, tetapi kesan positif penciptaan kerjaya dan menarik pelaburan, serta menjana semangat komuniti dan mempromosikan pertukaran ilmu," katanya.
Rakan kongsi mereka itu juga merancang meneroka kerjasama dalam pembangunan bandar sempadan dan pelancongan, memanfaatkan lokasi strategik untuk meningkatkan profil ekonomi negeri. - DagangNews.com








