Berjaya Air lakar sejarah terima pesawat ATR 72-600 pertama dunia dilengkapi semua kelas perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berjaya Air lakar sejarah terima pesawat ATR 72-600 pertama dunia dilengkapi semua kelas perniagaan

Foto kredit Euro Spot
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 MeiBerjaya Air melakar sejarah baharu industri penerbangan serantau apabila menerima sebuah pesawat model ATR 72-600 yang pertama dunia dilengkapi konfigurasi premium.


Kapal terbang jenis ATR HighLine dengan semua kelas perniagaan keluaran ATR yang berpangkalan di Perancis itu, sekali gus memperkukuh strategi syarikat dalam segmen penerbangan butik mewah.


Pesawat tersebut selamat mendarat selepas konsep kabin baharu ATR itu menerima pensijilan daripada European Union Aviation Safety Agency (EASA) serta pihak berkuasa Malaysia pada awal bulan ini.


"Penghantaran ini merupakan pesawat ATR 72-600 yang pertama milik Berjaya Air dan pada masa sama menjadi platform pelancaran global bagi koleksi kabin premium ATR HighLine," kata kenyataan ATR.


Pesawat berkenaan menampilkan konfigurasi eksklusif 26 tempat duduk kelas perniagaan dalam susun atur 1-1, memberikan setiap penumpang akses ke lorong dan pemandangan tingkap tanpa gangguan.


Jelas kumpulan tersebut, tempat duduk buatan khas ETEREA oleh Geven yang digunakan pesawat itu juga merupakan kerusi penumpang bersaiz paling lebar pernah dipasang dalam platform ATR sendiri.


Salah satu ciri unik ialah reka bentuk siling gaya eksekutif tanpa ruang simpanan atas kepala konvensional, yang menjadikan ruang kabin lebih luas dan terang seperti jet peribadi premium.

 

ATR_DagangNews
Foto kredit ATR



"Berjaya Air dijangka memulakan operasi pesawat itu dalam beberapa hari menerusi laluan baharu Subang-Koh Samui sebelum memperluaskan perkhidmatan ke rangkaian destinasi serantau," katanya.


Syarikat itu juga menyasarkan untuk menyokong portfolio hotel dan resort milik Berjaya Corporation Berhad termasuk destinasi pulau seperti Redang dan Langkawi selain menawarkan operasi sewaan khas.


Ia yang masih beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor, dijadual menerima sebuah lagi pesawat ATR 72-600 dalam konfigurasi serupa pada suku ketiga tahun ini.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Property Berhad, Syed Ali Shahul Hameed berkata, penerimaan pesawat tersebut menandakan langkah penting dalam transformasi Berjaya Air.


“Pengalaman kabin baharu ini membolehkan kami menawarkan perjalanan premium kepada pelanggan ke destinasi utama sambil mengekalkan kecekapan operasi dan standard hospitaliti tinggi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ATR, Nathalie Tarnaud Laude berkata, pengenalan ATR HighLine membuka peluang baharu kepada syarikat yang mahu menawarkan pengalaman bertaraf premium.


Menurut beliau, model itu tidak menjejaskan kecekapan operasi pesawat turboprop, dan platform ATR terus berkembang memenuhi keperluan pasaran penerbangan serantau global. - DagangNews.com