KUALA LUMPUR 16 Jun - Hasrat Malaysia untuk memiliki 30 pesawat pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait bagi mengukuhkan ruang angkasa negara semakin hampir apabila mendapat kebenaran Amerika Syarikat (AS).
AS telah memberikan lampu hijau bagi Malaysia dan Kuwait meneruskan fasa perbincangan lanjut bagi meneruskan pembelian tersebut.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, perkembangan positif itu akan disusuli dengan langkah-langkah yang sewajarnya.
Menurut beliau, perbincangan terperinci mengenai perkara berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kebenaran telah diberikan AS untuk Malaysia meneruskan hasrat membeli pesawat pejuang F/A-18 Hornet dari Kuwait.
“Kuwait ketika ini akan menerima pesawat baharu F/A-18 E/F Super Hornet.
“Kita jangka pemindahan pesawat-pesawat F/A-18 Hornet Kuwait ke Malaysia akan dibuat selepas negara itu menerima pesawat baharu mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa hadir pada Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-67 di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang hari ini.


Walaupun tidak dinyatakan tetapi Kuwait dijangka menerima pesawat-pesawat Super Hornet secara berperingkat-peringkat bermula tahun depan.
Dasar AS menetapkan bahawa kebenaran mesti diperoleh sebelum sebarang aset ketenteraan buatan negara itu dijual walaupun oleh negara pengguna sedia ada.
TUDM sebelum ini mengumumkan cadangan membeli 30 pesawat terpakai jenis F/A-18 C/D Hornet Kuwait sebagai pelengkap sementara sebelum kerajaan melaksanakan pembelian pesawat baharu.
Program pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) TUDM bakal dilaksanakan pada tahun 2040.

Ketika ini TUDM mempunyai 8 pesawat F/A-18D Hornet yang dibuat perolehan pada 1995 dan mula beroperasi pada 1997.
Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari membayangkan pembelian 30 pesawat pejuang terpakai jenis F/A-18 C/D Hornet Kuwait dijangka dimuktamadkan tahun ini.
Katanya, proses perolehan kini pada peringkat akhir termasuk dokumentasi yang juga membabitkan AS selaku pembuat asal pesawat berkenaan.
Malaysia dan dan Kuwait secara dasar bersetuju dengan pembelian berkenaan, namun beberapa proses dokumentasi akan dimuktamadkan termasuk perjanjian dan perkara berkaitan seperti harga perolehan.
Cadangan untuk TUDM mendapatkan pesawat terpakai Hornet Kuwait ini telah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak menemui sebarang noktah.
Pada Jun tahun lalu TUDM telah menghantar pasukan teknikal ke Kuwait bagi membuat penilaian jumlah pesawat Hornet yang sesuai untuk dimiliki.
Tentera udara Kuwait mempunyai 39 buah pesawat Hornet iaitu varian dua dan satu tempat duduk yang dibeli pada 1991. - DagangNews.com







