KUALA LUMPUR 4 Sept – Belgium, antara peneraju global dalam produk kentang sejuk beku premium, akan menampilkan inovasi dan kualiti bertaraf dunia pada Food & Hospitality Malaysia (FHM) 2025, dalam usaha memperkukuh hubungan dagangan dengan industri perkhidmatan makanan tempatan yang pesat berkembang.
Malaysia kini muncul sebagai pengimport ketiga terbesar di Asia bagi kentang sejuk beku Belgium, dengan nilai import mencecah RM109 juta pada 2024, menunjukkan potensi pasaran yang besar.
Penyertaan Belgium dalam pameran ini dikoordinasikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Flanders (VLAM), yang bertanggungjawab mempromosikan produk agromakanan ke pasaran antarabangsa.
Lima pengeluar utama kentang Belgium iaitu Agristo, Clarebout Potatoes, Ecofrost, Global Fries dan Pomuni diketengahkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September 2025.
Mereka akan mempamerkan pelbagai produk termasuk kentang goreng, kroket, kentang putar, hash browns dan tater tots, yang disasarkan kepada pemain industri tempatan seperti rangkaian restoran, hotel dan pengusaha katering.
VLAM berkata, dengan pertumbuhan sektor perkhidmatan makanan di Malaysia, jelas terdapat permintaan tinggi terhadap bahan ramuan premium yang berkualiti dan serba guna.

"Produk kentang Belgium menawarkan pelbagai potongan dan format untuk memenuhi keperluan dapur profesional,” kata Hilde Peeters dari lembaga berkenaan dalam satu kenyataan.
Meskipun merupakan sebuah negara kecil, Belgium telah lama mengukuhkan kedudukan sebagai pengeksport utama produk kentang diproses dunia dengan teknologi pemprosesan moden, piawaian kualiti Eropah dan tradisi kulinari yang kaya.
Hampir 49% eksport kentang Belgium kini dihantar ke luar Eropah, dengan benua Asia muncul sebagai pasaran pertumbuhan pesat negara berkenaan.
Di rantau Asia Timur dan Asia Tenggara sahaja, Belgium telah menembusi hampir semua pasaran utama, termasuk Malaysia, Jepun dan Korea Selatan.
Pada 2024, Malaysia mengimport lebih 17,000 tan kentang sejuk beku dari Belgium bernilai melebihi RM109 juta, dan trend ini terus meningkat dengan 5,800 tan bernilai RM41 juta telah diimport dalam hanya empat bulan pertama 2025.
Kentang goreng Belgium, yang ikonik dan dikenali menerusi budaya Frietkot, telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan budaya kebangsaan Belgium.
Kualiti rasa dan tekstur kentang goreng Belgium menjadi penanda aras global yang digemari cef dan pengendali makanan di seluruh dunia.
Produk kentang dari Belgium bukan sahaja menonjol dari aspek rasa premium, tetapi juga menawarkan kecekapan operasi dapur, sesuai untuk pelbagai jenis perniagaan – dari restoran mewah hingga rangkaian makanan segera.
“Sebahagian besar syarikat pemprosesan Belgium ialah perniagaan keluarga yang menekankan kepercayaan, fleksibiliti dan khidmat pelanggan, menjadikan mereka rakan dagang jangka panjang yang dipercayai di peringkat global,” tambah VLAM.
Penyertaan Belgium dalam FHM 2025 adalah sebahagian daripada kempen promosi serantau Asia yang turut dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU), berasaskan tiga teras utama iaitu kualiti tinggi, rasa premium dan kelestarian.
Kempen ini mencerminkan komitmen Belgium untuk menyokong pertumbuhan pasaran antarabangsa dan menyumbang kepada transformasi industri makanan Malaysia, sejajar dengan perkembangan pesat dalam sektor F&B tempatan.
FHM merupakan pameran perdagangan dwitahunan utama dalam sektor makanan dan hospitaliti negara, yang menghimpunkan jenama global, pembuat keputusan dan profesional industri di bawah satu bumbung. - DagangNews.com








