Belanjawan 2026: RM7.9 bilion perkasa TVET, fokus teknologi tinggi, bangun bakat tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: RM7.9 bilion perkasa TVET, fokus teknologi tinggi, bangun bakat tempatan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Okt – Kerajaan memperkukuh agenda pembangunan bakat tempatan apabila memperuntukkan RM7.9 bilion bagi tahun 2026 untuk memperhebat pelaksanaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sejajar keperluan industri berteknologi tinggi dan berimpak besar.


Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, menekankan Majlis TVET Negara akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem TVET negara secara menyeluruh, termasuk cadangan penggubalan Akta TVET (RUU TVET) buat pertama kalinya.


“Lebih ramai bakat tempatan dalam bidang TVET perlu diperkasa sebagai asas untuk pertumbuhan sektor masa depan negara seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui (RE),” tegas beliau yang juga Perdana Menteri.


Antara inisiatif utama yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 merangkumi RM45 juta untuk Majlis TVET Negara, termasuk latihan digital dan AI kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok melalui Program IPT@Komuniti.


Sejumlah RM1.3 bilion diperuntukkan kepada institusi TVET di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan memanfaatkan 79,000 penuntut.


Sementara itu, HRD Corp akan menyediakan tiga juta peluang latihan bernilai RM3 bilion, terutamanya dalam bidang teknologi tinggi, digital dan RE.


"Sejumlah RM650 juta disediakan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk 25,000 pelatih, menyokong bidang selari dengan NIMP 2030 seperti AI, EV dan semikonduktor," kata Anwar.


Dalam pada itu, RM34 juta untuk Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Program Akademi Dalam Industri, bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah.


Anwar menambah, GiatMARA pula akan menawarkan latihan kepada lebih 13,000 peserta, termasuk pekerja gig dan golongan tumpuan.


Tidak ketinggalan, Kolej Komuniti pula menyediakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi komuniti rentan seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan Orang Asli.


Belanjawan 2026 jelas beliau, turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur TVET termasuk pembinaan hangar baharu di ADTEC Shah Alam bagi menyokong latihan penyelenggaraan kapal terbang.


"Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine akan dibina di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), menyokong pembangunan ekonomi biru dan industri maritim," tambah Anwar.


Begitu juga jelas Perdana Menteri, sebuah kolej vokasional baharu akan dibangunkan di Sabah, memperluas capaian pendidikan vokasional di wilayah Malaysia Timur.


Kerajaan juga dalam pertimbangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) TVET untuk memperkukuh aspek tadbir urus, penyelarasan dan standard latihan TVET di seluruh negara.


Justeru, katanya, muda Malaysia dipastikan bersiap siaga bukan sahaja untuk pasaran kerja tempatan, tetapi juga menjadi pemain utama dalam ekonomi global yang berasaskan teknologi dan kemahiran tinggi. - DagangNews.com