Belanjawan 2026: RM42.9 bilion perkukuh ketenteraman awam, pertahanan negara melalui aset dan fasiliti strategik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: RM42.9 bilion perkukuh ketenteraman awam, pertahanan negara melalui aset dan fasiliti strategik

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Okt – Kerajaan memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keselamatan negara menerusi peruntukan besar RM42.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan (RM21.7 bilion) dan Kementerian Dalam Negeri (RM21.2 bilion).


Perkara tersebut diumumkan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.


Menurut beliau, pelaburan strategik ini menumpukan kepada pemerkasaan aset ketenteraan dan keselamatan**, pemodenan fasiliti pertahanan serta kebajikan anggota dan veteran keselamatan negara.


Sebahagian besar dana ini iaitu RM6 bilion jelas beliau diperuntukkan bagi pembelian dan penyelenggaraan aset utama pertahanan negara.


Ini termasuk sistem pertahanan udara merangkumi kategori Medium, Short dan Very Short Range; dua buah kapal Multi Role Support Ship; dan 10 unit kenderaan taktikal Batalion Malaysia (Malbatt)," kata Anwar.


Sementara itu, RM1 bilion diperuntukkan untuk memperkukuh aset keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri, termasuk 100 unit pacuan empat roda bagi operasi risikan dan taktikal PDRM.


Turut ditambah ialah empat buah bot ronda Fast Patrol Vessel untuk Pasukan Polis Marin; dan
sebuah pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


Kerajaan turut memperuntukkan lebih RM1.5 bilion bagi pembangunan dan naik taraf kemudahan badan beruniform di seluruh negara, termasuk Kompleks APMM Negeri di Tok Bali, Kelantan.


Tidak ketinggalan ialah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Balai Polis Lawin, Gerik; Kompleks Bersepadu APMM dan Pasukan Polis Marin di Labuan; Zon Maritim Kudat, Sabah; Pusat Latihan Artileri di Kem Syed Sirajuddin, Gemas; naik taraf ICQS Sungai Tujoh, Miri; bangunan tambahan Batalion 23 PGA, Sri Aman; dan tiga pos PGA baharu di Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan, Selangor.


"Bagi memperkukuh keselamatan di Pantai Timur Sabah, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang bakal tamat operasi pada Jun 2026 akan digantikan dengan Multi Purpose Command Platform baharu yang lebih moden dan berkeupayaan tinggi," tambah Anwar.


Dalam masa yang sama, kerajaan jelas beliau turut memberi jaminan mengenai penekanan kepada kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 


Justeru, kontrak perolehan Kementerian Pertahanan akan diwajibkan menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran menerusi skim PROTÉGÉ, selain membiayai program Work-Based Learning (WBL) dan Readiness To Work Programme bagi anggota yang bakal bersara.


“Belanjawan ini bukan sekadar memperkukuh kekuatan ketenteraan, tetapi juga memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan dalam kalangan anggota keselamatan,” kata Anwar dalam ucapannya.


Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang negara untuk memodenkan pertahanan dan keselamatan, serta memastikan kedaulatan dan ketenteraman awam terus terpelihara pada era cabaran geopolitik dan teknologi baharu. - DagangNews.com