KUALA LUMPUR 10 Okt – Sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, kerajaan memperkenalkan pelepasan cukai khas sehingga RM1,000 kepada individu atas perbelanjaan masuk ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan, sebagai galakan kepada rakyat untuk melancong dalam negara.
Langkah ini dilihat sebagai usaha menyeluruh merancakkan pelancongan domestik di samping memastikan limpahan ekonomi turut dirasai pengusaha tempatan, dari peniaga kecil, pengusaha kraf, komuniti desa hingga ke sektor hospitaliti.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
"Kerajaan turut memperuntukkan lebih RM700 juta khusus bagi menjayakan pelbagai inisiatif di bawah TMM 2026 yang disasarkan menarik 47 juta pelawat antarabangsa dan menjana pendapatan pelancongan sehingga RM329 bilion," katanya.
Ia melibatkan RM500 juta untuk menjayakan Kempen TMM 2026; RM60 juta bagi promosi, pemasaran dan acara pelancongan serta kebudayaan; RM50 juta menyokong penggiat seni warisan seperti batik, kraf dan tenunan; serta RM50 juta geran padanan bagi menggalakkan penerbangan antarabangsa ke Malaysia.
Selain itu, peruntukan berkenaan membabitkan RM25 juta bagi menaik taraf kemudahan pelancongan termasuk tapak UNESCO (Gunung Mulu, Lenggong, FRIM Forest Park); serta RM20 juta kepada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia untuk mempromosikan pelancongan kesihatan.
Pulau Langkawi katanya, kekal destinasi pelancongan utama negara dengan beberapa produk geopelancongan baharu akan dibangunkan seperti Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor, dan geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark.
"Kerajaan turut menyediakan insentif cukai kepada syarikat dan penggiat industri pelancongan bagi memperkukuh ekosistem pelancongan negara," jelas Anwar lagi.
Ini termasuk potongan cukai sehingga RM500,000 ke atas perbelanjaan ubah suai premis pelancongan; serta pengecualian cukai pendapatan 100% atas peningkatan hasil daripada pakej pelancongan ke Malaysia.
Langkah pengecualian cukai pendapatan 100% turut diberikan ke atas pendapatan penganjur acara bertaraf antarabangsa: serta pengecualian cukai 50% bagi syarikat penganjur acara seni, kebudayaan dan sukan antarabangsa.
“Kita mahu Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi wahana ekonomi yang memanfaatkan rakyat, menyatukan budaya, memperkukuh identiti dan membina jenama Malaysia di mata dunia,” ujar Anwar.
Langkah-langkah ini mencerminkan tekad kerajaan untuk memacu semula industri pelancongan dengan pendekatan inklusif yang melibatkan rakyat, industri dan pelabur tempatan serta antarabangsa. - DagangNews.com








