KUALA LUMPUR 2 Okt – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menggesa kerajaan melanjutkan insentif cukai untuk kenderaan elektrik (EV) yang dijana bateri (BEV) dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, penyambungan tempoh itu bagi memastikan momentum pertumbuhan kekal dan menarik pelaburan jangka panjang ke dalam industri mobiliti elektrik negara.
Ketika ini, BEV diimport sepenuhnya (CBU) diberi pengecualian duti import dan eksais sehingga akhir 2025, manakala kelonggaran duti sama dan cukai jualan BEV dipasang tempatan (CKD) sehingga 2027.
"Kami mencadangkan agar insentif ini terus dilanjutkan lagi oleh kerajaan sehingga 2027 untuk BEV CBU, dan sehingga 2030 untuk BEV CKD, kerana pegangan pasaran BEV masih adalah rendah," katanya.
Mohd Shamsor menambah, untuk separuh pertama setakat 30 Jun 2025, hanya 4.0% daripada jumlah isipadu industri (TIV) melibatkan BEV, walaupun meningkat 91% berbanding tempoh sama pada 2024.
Model CBU katanya, menawarkan teknologi dan ciri keselamatan terkini, yang meningkatkan keyakinan pengguna terhadap EV serta peralihan daripada kenderaan jenis enjin pembakaran dalaman (ICE).
Tambah beliau, lanjutan insentif itu juga mampu mempercepatkan pembinaan lebih banyak ruang pengecas kenderaan elektrik (EVCB) yang ketika ini hanya berjumlah 4,161 unit setakat 31 Mac 2025.
"Kerajaan menyasarkan untuk mencapai 10,000 EVCB menjelang 31 Disember 2025. Tempoh insentif lebih panjang akan merangsang permintaan BEV dan pacu pembangunan infrastruktur,” jelas Mohd Shamsor.
Beliau turut menyentuh peningkatan penyertaan pengeluar peralatan asal (OEM) dari China dalam pasaran Malaysia yang menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap dasar jangka panjang negara ini.
Perkembangan positif polisi kerajaan dalam pembangunan industri EV tambahnya, mendorong mereka untuk melaksanakan pelaburan baharu dengan segera menubuhkan operasi pemasangan CKD di Malaysia.
Langkah ini kata Mohd Shamsor, dijangka membuka banyak peluang pekerjaan berkemahiran, khususnya kepada graduan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam sektor automotif EV.
"Sebagai pelan jangka pendek, MAA turut mencadangkan agar kerajaan menawarkan pengurangan 75% insentif tersuai bagi model kenderaan hibrid elektrik (HEV) jenis CKD, sehingga 2027," tambahnya.
Usaha itu adalah langkah ideal untuk fasa keluar kenderaan ICE, terutama kepada pengguna yang masih ragu terhadap isu jarak pemanduan BEV, ketersediaan pengecas dan masa pengecasan terlalu lama.
Kata Mohd Shamsor, ia juga selari dengan misi kerajaan yang menyasarkan sebanyak 15% pegangan pasaran kenderaan dijana elektrik (xEV) di Malaysia menjelang 2030 dan 38% menjelang 2040.
Pada masa ini, definisi xEV dirujuk di negara ini dengan merangkumi pelbagai model BEV, HEV, plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan sel bahan api (FCEV). - DagangNews.com








