KUALA LUMPUR 10 Okt – Kerajaan memperkenalkan langkah komprehensif bagi memperkukuh perlindungan sosial rakyat melalui pelbagai inisiatif baharu yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini berkata, antara yang mendapat perhatian ialah insentif mobiliti pekerjaan untuk pencari kerja dan graduan baharu.
Usaha itu menggalakkan penempatan lebih luas dan merangsang mobiliti tenaga kerja, melibatkan pencari kerja dan graduan baharu yang perlu berpindah bagi menerima tawaran kerja yang akan menerima insentif tunai sehingga RM1,000 daripada (Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Langkah ini dijangka dapat membantu golongan muda untuk memulakan kerjaya dengan lebih yakin dan berdaya saing," jelas beliau.
Kerajaan tambah Anwat, turut memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu skim caruman padanan baharu khusus untuk pekerja gig, e-hailing dan p-hailing.
Menerusi skim ini, mereka akan menerima padanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM600 setahun atau maksimum RM6,000 seumur hidup.
Pada masa yang sama, skim i-Saraan sedia ada bagi pekerja sektor informal atau bekerja sendiri juga akan diteruskan dengan padanan caruman sebanyak RM500 setahun atau RM5,000 seumur hidup.
Seiring dengan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025, kerajaan kini mewajibkan caruman Perkeso bagi semua pekerja gig.
Bagi sektor yang belum diwajibkan, kerajaan akan menanggung 70% caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri untuk pekerja gig yang mendaftar buat pertama kali, manakala 50% insentif caruman akan diberikan untuk tahun kedua pendaftaran.
“Perlindungan sosial ini adalah ikhtiar menyeluruh untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir dari segi jaminan kewangan dan keselamatan pekerjaan,” ujar Anwar.
Langkah-langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan Madani untuk memperluas jaringan keselamatan sosial kepada semua golongan pekerja termasuk sektor tidak formal selari dengan hasrat memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat. - DagangNews.com








