KUALA LUMPUR 24 Okt – Firma perunding hartanah global, JLL menilai Belanjawan 2026 sebagai pelan transformasi yang bakal memacu pertumbuhan mampan jangka panjang sektor hartanah negara ini.
Menurut Pengarah Urusan JLL Malaysia, Jamie Tan, langkah kerajaan tersebut diyakini dengan turut disokong oleh peruntukan strategik berjumlah RM419.2 bilion di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Tambah beliau, tumpuan belanjawan itu terhadap sektor bernilai tinggi, pembangunan bakat, dan pengukuhan infrastruktur akan menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Pendekatan strategik tersebut jelasnya lagi, berupaya dalam mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan dan keprihatinan sosial, serta memastikan kemajuan ekonomi yang lebih inklusif.
"Kami menjangka langkah ini akan mengekalkan kestabilan pasaran buruh, meningkatkan pendapatan isi rumah dan juga menyokong permintaan berterusan pasaran hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.
JLL ujar Jamie, meramal pelaburan pembuatan semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), farmaseutikal dan teknologi lestari akan meningkatkan permintaan terhadap hartanah industri serta logistik.
Melalui Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura serta Bukit Kayu Hitam, Kedah, pelaburan prasarana berjumlah RM7 bilion dijangka menjana banyak pelaburan baharu untuk diluluskan menjelang 2026.
Selain itu, projek sambungan infrastruktur rel utama seperti ECRL, LRT3, ETS dan RTS Link diramal terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan hartanah di sepanjang koridor pengangkutan tersebut.
"Belanjawan 2026 turut mengukuhkan agenda perumahan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM20 bilion, yang akan memanfaatkan kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama," kata beliau.
Langkah ini jelas Jamie, disertai pengecualian duti setem sehingga Disember 2027 bagi hartanah bernilai sehingga RM500,000, sekali gus meningkatkan permintaan segmen perumahan mampu milik.

Kerajaan juga katanya, mengumumkan pembangunan Kota MADANI di Putrajaya, mengandungi 10,000 unit rumah berkonsep pintar penanda aras projek berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pada masa sama katanya, peruntukan RM2 bilion bagi kabel dasar laut dan rangkaian telekomuniksi 5G dijangka memperteguhkan ekosistem pusat data serta mempercepatkan pembangunan bandar pintar.
"Kami juga menilai positif dana RM7.9 bilion untuk mengukuhkan ekosistem Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya bidang semikonduktor, AI dan tenaga hijau," katanya.
Jamie turut tertarik peruntukan RM700 juta bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan RM20 juta promosi pelancongan kesihatan ASEAN, yang bakal meningkatkan permintaan hartanah hospitaliti.
Di samping itu, kerajaan menegaskan semula komitmen menjadikan Malaysia hab serantau bagi Pejabat Keluarga Tunggal (SFO), sekali gus memperkukuh pengurusan kekayaan dan pelaburan bernilai tinggi.
Pelaksanaan cukai duti setem rata 8% bagi pembelian hartanah asing turut mengimbangi permintaan domestik, sementara inisiatif MyHIJAU GITA dan cukai karbon mempercepat peralihan teknologi hijau.
Dalam pada itu, menurut Ketua Penyelidikan dan Perundingan JLL Malaysia, Yulia Nikulicheva, tumpuan Belanjawan 2026 terhadap usaha kelestarian akan mengubah corak pelaburan komersial.
“Hartanah dengan kelayakan ESG yang tinggi akan menikmati premium nilai, manakala aset lama tanpa ada pengubahsuaian hijau kemungkinan berdepan dengan tekanan pasaran hartanah,” katanya.
Secara keseluruhan, JLL menegaskan pendekatan menyeluruh Belanjawan 2026 menggabungkan pertumbuhan sektor strategik, pembangunan infrastruktur dan insentif perumahan sebagai langkah baik.
Perancangan tersebut juga akan terus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hartanah serantau yang berdaya saing. - DagangNews.com








