Belanjawan 2026: Bank digital mahu subsidi bersasar disalur terus melalui platform | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: Bank digital mahu subsidi bersasar disalur terus melalui platform

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Okt – Operator bank digital di negara ini menggesa kerajaan dapat menyalurkan subsidi bersasar dan bantuan tunai menerusi platform perbankan digital dalam Belanjawan 2026.


Langkah tersebut tambah mereka, adalah perlu dilaksanakan segera bagi memastikan perkembangan sistem agihan yang lebih adil, telus dan cekap, selaras dengan aspirasi pendigitalan negara.


GX Bank Berhad, bank digital pertama yang beroperasi di Malaysia, menyifatkan bank digital sebagai rakan strategik kerajaan dalam memodenkan agihan bantuan secara selamat dan terus kepada rakyat.


“Kami mencadangkan supaya satu platform digital tunggal kebangsaan diwujudkan untuk menguruskan semua bentuk subsidi dan bantuan tunai daripada kerajaan,” kata bank itu dalam satu kenyataan.


Ketika ini, bantuan kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup, diagihkan melalui pelbagai saluran seperti e-dompet dan MyKad, namun kaedah ini dilihat berpecah-pecah dan kurang bersepadu .


Sementara itu, Ryt Bank, bank digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), berpandangan pendekatan melalui platform tunggal wajar dibentuk menerusi sistem e-Know Your Customer (eKYC).


Inisiatif berkenaan tambahnya lagi, dapat mengurangkan masalah ketirisan fiskal kerajaan sendiri dan menyokong inklusiviti kewangan negara, terutama jika sasaran dalam kalangan kumpulan rentan.


“Contohnya, subsidi boleh ditambah mengikut pencapaian seperti daftar dengan bank digital, sertai platform e-dagang, dan capai sasaran jualan, semuanya bertujuan mempercepat pendigitalan," katanya.


Bank itu turut mencadangkan Belanjawan 2026 memperkenalkan subsidi bertingkat untuk usahawan meraih peranti digital, dikaitkan secara langsung dengan bank digital dan penggunaan platform digital.


Dalam pada itu, GXBank menyarankan kerajaan melancarkan skim jaminan mikro bersandarkan kerajaan bagi membolehkan bank membiayai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanpa risiko kredit.


Ia juga mahu keupayaan analitik data dan AI untuk sistem penarafan kredit lebih inklusif, serta perluasan kerjasama awam-swasta dalam program celik kewangan membina daya tahan ekonomi rakyat.


“Skim seperti ini mampu mencetuskan kesan pengganda terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan PMKS kepada peminjam wang tidak berlesen,” tambahnya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, dengan dasar yang menyokong, bank digital berupaya menutup jurang akses kewangan melalui rumusan berasaskan data.


Ini termasuk daripada isu pembayaran harian hingga pembiayaan perniagaan dengan insentif seperti geran, kerjasama awam-swasta, dan pelaburan dalam teknologi baru seperti AI dan analitik data.


"Kami yakin langkah sebegini akan dapat membantu bank digital berkembang secara bertanggungjawab dan seterusnya mampu membina ekosistem kewangan yang lebih diyakini rakyat sendiri,” katanya.


Setakat Oktober 2025, terdapat lima bank digital berlesen di Malaysia sudah beroperasi, iaitu GX Bank Bhd, Aeon Bank Bhd, Boost Bank Bhd, Ryt Bank dan KAF Digital Bank Bhd. - DagangNews.com