Bekas Setiausaha Kerajaan Selangor, Haris Kasim dilantik sebagai Pengarah Glomac | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Setiausaha Kerajaan Selangor, Haris Kasim dilantik sebagai Pengarah Glomac

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Jun — Glomac Berhad melantik bekas Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif yang baharu, berkuat kuasa pada 20 Jun 2025.


Kumpulan pemaju hartanah itu berkata, beliau memiliki pengalaman pelbagai disiplin lebih 40 tahun dalam kepimpinan korporat kanan, termasuk perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan negeri.


Antaranya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor meliputi Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Air Selangor, dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI).


"Beliau turut mempunyai kepakaran korporat yang besar, setelah memegang pelbagai jawatan kepimpinan strategik sebagai Pengerusi dalam beberapa entiti utama," kata Glomac dalam kenyataan.


Ini tambahnya, termasuklah Kumpulan Perangsang Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Central Spectrum (M) Sdn Bhd, dan Worldwide Entech Sdn Bhd.


Selain itu kata Glomac, dalam bidang perkhidmatan awam, Haris kali terakhir pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dari 2021 sehingga Januari 2025.


Dengan pengalaman luas dan wawasan strategiknya, kumpulan itu yakin beliau akan membawa perspektif dan panduan berharga kepada lembaga pengarah serta mengukuhkan ltadbir urus syarikat.


"Kami berbesar hati dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau sambil meneruskan misi untuk menyampaikan nilai yang mampan kepada pemegang kepentingan dan komuniti kami," kata Glomac.


Pelantikan Haris tambah kumpulan tersebut, turut mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kepimpinan yang kukuh dan kecemerlangan tadbir urus korporat. - DagangNews.com