Bekas Pengerusi Star Media Radio kekal dipilih 99.32% pemegang saham sebagai Pengerusi Tanco | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Pengerusi Star Media Radio kekal dipilih 99.32% pemegang saham sebagai Pengerusi Tanco

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Dis – Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse, sekali lagi mendapat mandat majoriti besar daripada pemegang saham Tanco Holdings Berhad untuk terus menerajui syarikat berkenaan.


Tokoh korporat berusia 80 tahun itu dipilih semula mengekalkan jawatan Pengerusi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-66 yang berlangsung Port Dickson, Negeri Sembilan pada 10 Disember 2025.


Bekas Pengerusi Star Media Radio Group itu menerima sokongan luar biasa daripada 3,810,129,257 saham, mewakili 99.32% daripada undi, berbanding hanya 26,141,392 saham (0.68%) yang menentangnya.


"Beliau dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas, serta kekal menerajui lembaga pengarah syarikat selepas pengesahan pengundian pada AGM," maklum Tanco kepada Bursa Malaysia hari ini.


Mohd Aminuddin dilantik memegang jawatan itu sejak 2018 dan keputusan AGM ini menegaskan keyakinan pemegang saham terhadap kepimpinannya menerajui strategi pertumbuhan serta tadbir urus korporat.


Ini terutama ketika syarikat berkenaan terus mengekalkan kedudukannya dalam sektor pembangunan hartanah, penyediaan perkhidmatan pembinaan infrastruktur awam serta penyelenggaraan fasiliti.


Selain itu, AGM tersebut turut meluluskan semua sembilan resolusi lain termasuk pembayaran yuran dan manfaat kepada pengarah bukan eksekutif, serta pelantikan semula KPMG PLT sebagai juruaudit.


Pemegang saham Tanco juga memberi kelulusan penerbitan saham baharu, serta pembaharuan mandat untuk transaksi dengan pihak berkaitan pihak dan program pembelian balik saham syarikat tersebut.


Kebanyakan resolusi menerima majoriti hampir 100% undi menyokong dan pengiraan undi telah disahkan oleh Quantegic Services Sdn Bhd, sebagai pemeriksa bebas yang dilantik oleh syarikat. - DagangNews.com