Bekas pegawai Rafizi, James Chai beri keterangan kepada SPRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas pegawai Rafizi, James Chai beri keterangan kepada SPRM

Kenderaan membawa James Chai dilihat memasuki pekarangan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. - Gambar/Cetakan skrin video MalaysiaKini

KUALA LUMPUR 28 April - Bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern, yang juga dikenali sebagai James Chai, tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Selasa bagi memberi keterangan berhubung siasatan melibatkan sebuah syarikat semikonduktor global terkemuka.

 

James Chai tiba pada jam 10 pagi bersama peguamnya untuk membantu siasatan yang melibatkan Arm Holdings plc dari United Kingdom.

 

Difahamkan, James Chai baru sahaja tiba di ibu negara dari United Kingdom pada pagi Selasa sebelum terus ke SPRM bagi memberikan keterangan.

 

Pada 1 April lalu, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada bekas pembantu bekas menteri ekonomi itu untuk tampil membantu siasatan, malah turut bersedia menanggung kos penerbangan beliau untuk kembali ke Malaysia.

 

Pada 16 Februari, SPRM dilaporkan telah membuka siasatan terhadap satu perjanjian antara kerajaan Malaysia dan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

 

Menurut sumber, siasatan itu dimulakan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian tersebut dimeterai secara tergesa-gesa dan berat sebelah, sekali gus berpotensi memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

 

Sumber berkenaan berkata siasatan turut menumpukan kepada unsur konflik kepentingan, apabila beberapa individu didakwa diberikan jawatan kanan dalam syarikat asing tersebut selepas meninggalkan kementerian berkenaan. - BERNAMA