Bekas menteri dapat ganti rugi RM45,000 menang saman fitnah ke atas Sin Chew | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas menteri dapat ganti rugi RM45,000 menang saman fitnah ke atas Sin Chew

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Dis – Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan Sin Chew Daily membayar sejumlah RM45,000 kepada bekas Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.


Ia berhubung kes saman fitnah ke atas tokoh itu berkaitan artikel perjalanan luar negara semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 1 September 2020 diterbitkan akhbar berbahasa Cina itu.


Pesuruhjaya Kehakiman Asmah Musa yang membenarkan rayuan Mohd Khairuddin, serta menganugerahkan RM35,000 sebagai ganti rugi am dan RM10,000 sebagai ganti rugi teruk, selain RM5,000 kos guaman.


Beliau turut memerintahkan akhbar tempatan berkenaan agar membayar faedah kira-kira 5% setahun kepada plaintif dari tarikh penghakiman itu sehingga pembayaran tersebut dapat diselesaikan.


Kes tersebut membabitkan laporan Sin Chew Daily yang mendakwa konon Mohd Khairuddin melakukan perjalanan ke luar negara ketika kemuncak PKP susulan langkah pengekangan terhadap wabak Covid-19.


Mahkamah mendapati penerbitnya, Sin Chew Media Corporation, gagal mengesahkan fakta sebelum penerbitan dan menggunakan gambar peribadi tokoh tersebut dari lawatan ke Belanda pada 2016.


Bagaimanapun, akhbar berkenaan mengaitkan foto tersebut pula dengan perjalanan oleh bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu ke Turkiye pada 2020, sewaktu seluruh negara dikenakan arahan PKP.


Dalam penghakiman, Asmah menegaskan walaupun kewartawanan dilindungi di bawah prinsip keistimewaan bersyarat, media perlu bertanggungjawab memastikan ketepatan fakta, dan penggunaan imej berhemah.


Beliau turut menekankan kebebasan bersuara tidak boleh mengatasi keperluan ketepatan dan keadilan, terutama dalam era penerbitan digital dan penyebaran maklumat pantas melalui media sosial.


Mohd Khairuddin sebelum ini berhujah bahawa laporan berkenaan adalah palsu, bersifat memfitnah dan diterbitkan secara cuai tanpa mendapatkan pengesahan atau ulasan daripadanya. - DagangNews.com