Bekalan minyak mentah dibawa Ocean Thunder stabilkan keperluan bahan api negara sehingga Jun - PETRONAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekalan minyak mentah dibawa Ocean Thunder stabilkan keperluan bahan api negara sehingga Jun - PETRONAS

Kapal tangki Ocean Thunder yang membawa 1 juta tong minyak mentah telah tiba di Pengerang Johor pada 17 April 2026. Gambar/ Instagram PETRONAS
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 April  Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengumumkan ketibaan kapal sewaannya, Ocean Thunder, di Malaysia dengan muatan satu juta tong minyak mentah dari Basrah, Iraq sebagai sebahagian langkah memastikan kestabilan bekalan bahan api negara.

 

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi syarikat itu, PETRONAS berkata penghantaran tersebut merupakan sebahagian daripada strategi kepelbagaian sumber bekalan minyak mentah di bawah rangkaian globalnya.

 

Menurut syarikat minyak nasional itu, muatan Ocean Thunder hanya merangkumi sebahagian daripada 38% jumlah import minyak mentah Malaysia yang melalui Selat Hormuz, sekali gus mencerminkan kebergantungan negara yang tidak sepenuhnya tertumpu kepada laluan tersebut.

 

Pet1

 

“Bekalan bahan api Malaysia juga diperoleh daripada pelbagai sumber lain dalam rangkaian luas PETRONAS. Ini membolehkan PETRONAS memastikan bekalan mencukupi di stesen-stesennya sehingga akhir Jun 2026,” katanya.

 

PETRONAS menjelaskan bahawa satu juta tong minyak mentah bersamaan kira-kira 159 juta liter, dengan tempoh penapisan dianggarkan mengambil masa sekitar enam hari sebelum boleh diagihkan ke pasaran domestik.

 

Secara purata, Malaysia menggunakan kira-kira 112 juta liter bahan api sehari, merangkumi 34 juta liter diesel, 46 juta liter petrol, 12 juta liter bahan api penerbangan dan 20 juta liter gas petroleum cecair (LPG).

 

{et3

 

Perkembangan itu dilihat mampu menyokong keperluan tenaga domestik dalam jangka pendek, di samping mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan negara dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran minyak global. - DagangNews.com