KUALA LUMPUR 5 Mac – Bedi Bhd membeli sebidang tanah seluas 6.47 hektar (15.99 ekar) di Bukit Padang, Kota Kinabalu Sabah pada harga RM15.92 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pemaju hartanah itu berkata pembelian berkenaan akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Wah Mie Realty Sdn Bhd.
“Tanah berkenaan akan dibeli daripada lima individu iaitu Lee Fui Chen, Lee Vun Yeng, Lee Vun Yee, Lee Tien Rui dan Lee Sheng Chieh.
“Lokasi tanah tersebut terletak di kawasan yang sudah mempunyai akses kepada infrastruktur utama serta pelbagai kemudahan, menjadikannya sesuai untuk pembangunan pada masa hadapan,” kata Bedi dalam makluman tersebut.
Syarikat berkata cadangan pemerolehan itu dijangka dapat menambah lebih banyak tanah kumpulan sekali gus mengukuhkan saluran projeknya dalam tempoh jangka sederhana dan panjang.
Langkah tersebut juga dijangka memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik, selain menyokong strategi jangka panjang syarikat untuk mendapatkan tanah di lokasi strategik bagi pembangunan bercampur.
Pembelian tanah itu akan diselesaikan sepenuhnya secara tunai dan dibiayai melalui pinjaman bank.
Urus niaga berkenaan dijangka dimuktamadkan menjelang suku kedua tahun 2026, tertakluk kepada pematuhan semua syarat dan kelulusan yang berkaitan. - DagangNews.com








