KUALA LUMPUR 4 Mei - Cropmate Bhd memberitahu beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya yang sebelum ini dibekukan telah dilepaskan sebahagiannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh peguam caranya pada 1 Mei 2026.
"Syarikat, melalui peguam caranya, telah mengemukakan satu lagi surat representasi kepada SPRM untuk pertimbangan lanjut bagi memohon pelepasan pembekuan ke atas semua akaun bank Syarikat dan subsidiarinya yang terjejas," katanya dalam pemakluman itu.
Pada 30 April lalu, Cropmate memaklumkan juruaudit luarnya telah mengeluarkan pendapat audit tidak berubah bagi penyata kewangan tahun berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), namun memberi penekanan terhadap ketidakpastian berkaitan keupayaan kumpulan untuk terus beroperasi sebagai entiti berterusan.
Juruaudit, Messrs Kreston John & Gan, menyatakan wujud ketidakpastian ketara yang boleh menjejaskan keupayaan Cropmate untuk meneruskan operasi berikutan sekatan ke atas beberapa akaun bank syarikat yang telah dibekukan oleh pihak berkuasa.
Laporan juruaudit menjelaskan tempoh sekatan terhadap akaun terlibat serta kesan kewangan daripada pembekuan tersebut masih tidak dapat dipastikan dan menimbulkan risiko material terhadap kelangsungan operasi kumpulan.
Sebelum ini, Cropmate yang mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada Disember 2024 telah mendedahkan beberapa akaun bank miliknya serta anak syarikat turut terlibat dalam pembekuan tersebut sejak siasatan dimulakan.
Setakat ini, kira-kira RM12.21 juta dana dalam akaun yang terjejas telah dibekukan, namun syarikat memaklumkan bahawa ia masih mempunyai akses kepada kemudahan perbankan alternatif bagi memastikan operasi harian dapat diteruskan. - DagangNews.com








