Batu Kawan ambil alih 47.7% pegangan MKH, sasar nyahsenarai syarikat menerusi pengambilalihan RM1.15 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Batu Kawan ambil alih 47.7% pegangan MKH, sasar nyahsenarai syarikat menerusi pengambilalihan RM1.15 bilion

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Mei – Batu Kawan Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Whitmore Holdings Sdn Bhd, mengambil alih pegangan sebanyak 47.7% dalam MKH Berhad daripada keluarga Chen pada nilai keseluruhan RM549.8 juta atau RM2 sesaham.

 

Pengambilalihan itu mencetuskan tawaran am mandatori (MGO) oleh Batu Kawan kepada semua pemegang saham MKH pada harga RM2 sesaham selaras dengan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.

 

Batu Kawan berkata, kumpulan itu bercadang untuk mengambil MKH sebagai syarikat persendirian sekiranya berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 90% pegangan saham dalam syarikat berkenaan menerusi proses MGO tersebut.

 

Selain itu, Batu Kawan turut bersetuju membeli pegangan sebanyak 3.9% dalam MKH Oil Palm (East Kalimantan) Bhd yang merupakan anak syarikat perladangan MKH.

 

MKH dan subsidiarinya secara kolektif memiliki 65.3% pegangan dalam MKH Oil Palm. Susulan itu, Batu Kawan juga diwajibkan melaksanakan MGO bagi MKH Oil Palm pada harga 64.78 sen sesaham apabila tawaran terhadap MKH menjadi tidak bersyarat.

 

Kekalkan Status Penyenaraian

Bagaimanapun, Batu Kawan berkata, kumpulan itu bercadang mengekalkan status penyenaraian MKH Oil Palm di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas urus niaga tersebut dimuktamadkan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Batu Kawan memaklumkan Whitmore telah menandatangani beberapa perjanjian jual beli saham sama ada secara bersyarat dan tanpa syarat dengan ahli keluarga Chen, syarikat pelaburan Chen Choy & Sons Realty Sdn Bhd serta pihak berkaitan lain.

 

Daripada keseluruhan pegangan yang diperoleh, sebanyak 29.6% saham MKH dibeli pada nilai RM340.9 juta manakala baki 18.1% lagi bernilai RM208.9 juta, dengan kedua-duanya pada harga RM2 sesaham.

 

Batu Kawan berkata, tawaran MGO terhadap baki saham MKH dijangka melibatkan kos sehingga RM603.8 juta yang akan dibiayai menerusi pinjaman bank. 

 

Kumpulan itu dijangka membelanjakan kira-kira RM1.15 bilion bagi melaksanakan pengambilalihan penuh MKH.

 

Menurut Batu Kawan, pengambilalihan itu akan memperkukuhkan asas pendapatan segmen pembangunan hartanah dan perladangan kumpulan selain membolehkan syarikat memanfaatkan bank tanah, kepakaran pengurusan projek serta mewujudkan sinergi operasi dalam perladangan di Kalimantan Timur, Indonesia. - DagangNews.com