Batik Air perbaharui sijil IOSA, terus komited tingkatkan keselamatan penerbangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Batik Air perbaharui sijil IOSA, terus komited tingkatkan keselamatan penerbangan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jun - Batik Air berjaya memperbaharui pensijilan Audit Keselamatan Operasi (IOSA) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sekali gus menunjukkan komitmen berterusannya terhadap keselamatan dan kecekapan operasi.

 

Pensijilan IOSA adalah antara penilaian keselamatan paling ketat dalam industri penerbangan dan digunakan sebagai standard global. 

 

Ia menilai pelbagai aspek operasi syarikat penerbangan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh IATA, yang mewakili lebih 300 syarikat penerbangan di seluruh dunia.

 

Pensijilan itu diperbaharui selepas audit menyeluruh dijalankan mengikut pendekatan baharu berasaskan Risk-Based Audit (RBA), yang menilai operasi dan rekod keselamatan setiap syarikat penerbangan. 

 

Ia dikendalikan oleh profesional bebas yang diiktiraf IATA dan perlu diperbaharui setiap dua tahun.

 

Sijil berkenaan sah hingga 3 Jun 2027.

 

Ia meliputi lapan aspek penting operasi penerbangan, termasuk pengurusan syarikat, operasi penerbangan, penyelenggaraan pesawat, operasi kabin, pengendalian di darat, kargo dan keselamatan penerbangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, keselamatan adalah asas utama operasi syarikat yang menjadi identiti Batik Air.

 

"Di Batik Air, keselamatan bukan sekadar keperluan, tetapi janji kami kepada penumpang. Pensijilan ini membuktikan disiplin dan profesionalisme pasukan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, pensijilan itu akan meyakinkan penumpang bahawa setiap penerbangan Batik Air dikendalikan dengan standard keselamatan yang tinggi dan pengurusan operasi yang teliti.

 

Batik Air kini giat mengembangkan penerbangan ke destinasi serantau dan antarabangsa, namun tetap memberi keutamaan kepada keselamatan, kebolehpercayaan dan keselesaan penumpang.

 

Pensijilan IOSA itu menggambarkan nilai utama syarikat dan visinya untuk menjadi syarikat penerbangan pilihan yang dipercayai di peringkat rantau dan dunia. - DagangNews.com