KUALA LUMPUR 8 Mei – Semakin banyak syarikat Malaysia kini mula mengalihkan perhatian ke pasaran modal Amerika Syarikat (AS), khususnya Nasdaq susulan tekanan pembiayaan di bursa tempatan.
Ketua Nasdaq ASEAN, Hiren Krishnani, kebanyakannya meneroka peluang kecairan modal global yang kukuh di luar negara, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap daya saing pasaran modal domestik.
Tambahnya, syarikat-syarikat yang berorientasikan pertumbuhan tinggi dari pelbagai negara di rantau Asia Tenggara turut dilihat semakin agresif mencari akses pembiayaan dana antarabangsa.
"ASEAN kini memainkan peranan lebih besar dalam pasaran modal global, serta membuka potensi lebih luas kepada syarikat-syarikat yang bersedia untuk berkembang di peringkat antarabangsa," katanya.
Krishnani menyatakan demikian pada Forum Pasaran Modal serta Penggabungan dan Pengambilalihan anjuran ARC Group 2026 baru-baru ini, yang turut disertai rakan ARC Group, Datuk Seri Paul Chong.
Ujarnya, syarikat yang ada persediaan strategik dan selari keperluan global berada pada kedudukan terbaik mendapatkan akses kepada kecairan antarabangsa serta peluang pertumbuhan jangka panjang.
Perkembangan tawaran awam permulaan (IPO) global kini menunjukkan tanda-tanda stabil disokong oleh penurunan kadar faedah, pengurangan ketidaktentuan pasaran dan sentimen pelabur yang semakin baik.
"Bagaimanapun, pelabur masih bersikap selektif dengan faktor skala syarikat, potensi keuntungan dan prospek pertumbuhan menjadi penentu utama syarikat memasuki pasaran awam," jelas Krishnani.

Sementara itu, Paul yang juga panel forum tersebut berpandangan, terdapat jurang yang amat ketara antara keupayaan syarikat-syarikat bagi mendapatkan modal di Malaysia berbanding pasaran global.
Antaranya kata beliau, cabaran persekitaran pembiayaan kini dilihat lebih ketat terutamanya bagi syarikat yang secara kebetulan pula berada di luar daripada sektor teknologi pesat berkembang.
Firma ekuiti persendirian dan modal teroka tambah beliau, pada ketika ini didapati lebih banyak menumpukan pelaburan mereka dalam syarikat berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maju.
"Isu ini menyebabkan banyak syarikat menilai strategi pembiayaan lebih awal termasuk mempertimbang penyenaraian pasaran luar negara sebagai sebahagian pelan pertumbuhan jangka panjang," ujar Paul.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekuriti ARC Group, Ian Hanna berkata, kecairan tinggi di Nasdaq menjadi antara tarikan utama kepada syarikat Malaysia mahu disenaraikan di luar negara.
Jelasnya, pasaran itu turut lebih besar dan akses kepada ramai pelabur institusi, membolehkan syarikat mendapatkan dana dengan secara efisien dan kembali ke pasaran untuk pembiayaan tambahan.
Berbanding beberapa bursa serantau lain, pasaran saham AS turut menawarkan fleksibiliti lebih tinggi kepada syarikat pertumbuhan tinggi untuk disenaraikan tanpa syarat keuntungan yang ketat.
Forum itu menghimpunkan lebih 500 peserta dengan perbincangan tertumpu strategi modal rentas sempadan serta penguasaan bursa AS sebagai destinasi utama penyenaraian dunia. - DagangNews.com








