Bank tanah SD Guthrie di Selangor susut kepada 29,940 hektar susulan projek GDV RM20 bilion di Sepang — MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank tanah SD Guthrie di Selangor susut kepada 29,940 hektar susulan projek GDV RM20 bilion di Sepang — MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 April — Keluasan bank tanah SD Guthrie Berhad di Selangor dijangka susut kepada 29,940 hektar daripada 33,615 hektar susulan pelaksanaan projek pembangunan bercampur di Sepang.


Menurut MBSB Research, projek yang bernilai RM20 bilion itu, namun tidak menjejaskan prospek keseluruhan kumpulan memandangkan ia hanya 1.1% daripada jumlah bank tanah huluannya di Malaysia.


Justeru, firma penyelidikan itu dalam nota analisisnya, mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham syarikat berkenaan dengan harga sasaran (TP) yang turut tidak berubah kepada RM6.46 sesaham.


"Unjuran ini turut disokong langkah strategik SD Guthrie memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang kedua bagi tahun ini bersama-sama dengan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI)," katanya. 


Kerjasama terbaharu itu jelas MBSB Research, melibatkan usaha pembangunan kawasan yang berkeluasan 1,011.714 hektar dalam zon perladangan Sepang Estate, serta berhampiran dengan KLIA Aeropolis.


Katanya, pembangunan itu selari kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang menumpukan sektor keutamaan seperti logistik dan aeroangkasa, serta meraih potensi wilayah selatan negeri berkenaan.

 

SD Guthrie_DagangNews


Projek tersebut ujar firma penyelidikan itu, dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh 20 tahun dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM20 bilion, yang juga merangkumi pelbagai komponen.


"Antaranya segmen perindustrian, komersial dan kediaman, selain dapat menyokong pertumbuhan fasa seterusnya ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sendiri," kata MBSB Research.


Dari segi pelaksanaan, struktur monetisasi tanah dijangka mencontohi model usaha sama terdahulu, dengan SD Guthrie berkemungkinan mengekalkan pegangan 50% melalui entiti pembangunan tanahnya.


Jelas firma tersebut, lokasi projek di Sepang yang mempunyai akses terus ke Lebuhraya ELITE serta rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan menambah daya tarikan sebagai hab logistik dan perindustrian


Secara keseluruhan, MBSB Research melihat inisiatif ini sebagai langkah strategik syarikat, di samping menyokong agenda pembangunan negeri dan pengembangan sektor bernilai tinggi. - DagangNews.com