KUALA LUMPUR 12 Sept – Bank Rakyat serta Institut Perbankan dan Kewangan Islam Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIiBF, UIAM) mencadangkan pelaksanaan instrumen inovatif sukuk waqaf bagi memperkasa kewangan sosial Islam dan memperluaskan impak pembangunan komuniti.
Saranan tersebut didedahkan menerusi satu kajian menyeluruh yang diumumkan bersama, menandakan satu langkah penting ke arah penggabungan instrumen pasaran modal patuh Syariah dengan prinsip waqaf, sekali gus memperkenalkan pendekatan baharu bersifat dinamik, fleksibel dan berimpak tinggi.
Selain itu, sukuk waqaf berpotensi menjadi platform pelaburan yang menggabungkan nilai dermawan dan pulangan kewangan, seterusnya meluaskan sumber kewangan sosial melebihi kebergantungan tradisional kepada harta fizikal seperti tanah dan bangunan.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, inisiatif ini berupaya dalam usaha mentransformasikan landskap kewangan sosial Islam dengan menyediakan instrumen yang mampu mencapai objektif kewangan dan sosial secara serentak.
“Sukuk waqaf membawa potensi besar dalam memperkukuh ekosistem kewangan sosial Islam, di samping memperluaskan peranan kewangan Islam dalam memberikan impak sosioekonomi yang mampan dan inklusif,” katanya.
Inisiatif ini turut sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang menggalakkan inovasi dalam kewangan Islam bagi menangani isu-isu kritikal negara termasuk perubahan iklim, jurang pendapatan, keselamatan makanan dan penuaan populasi.
Sukuk waqaf didefinisikan sebagai sijil pelaburan patuh Syariah yang mengandungi elemen waqaf, membolehkan pelabur mendermakan sebahagian atau keseluruhan prinsipal atau keuntungan sama ada sepanjang tempoh pelaburan atau pada tarikh matang.
Tidak seperti aset wakaf tradisional, sukuk waqf membuka ruang kepada aset kewangan cair yang berorientasikan impak, dan berpotensi menarik penyertaan lebih meluas dari pelabur institusi dan individu.
Kajian bersama yang dilancarkan itu mengenal pasti tiga nilai utama sukuk waqaf yang meningkatkan daya tarikan pelabur iaitu aplikasi hasil lebih luas melebihi infrastruktur fizikal; mekanisme sumbangan yang fleksibel dan terbuka serta integrasi pulangan sosial dan kewangan dalam satu instrumen.
Untuk merealisasikan pelaksanaan berkesan, kajian itu mencadangkan empat langkah dasar utama iaitu kerangka undang-undang dan operasi yang jelas untuk struktur sukuk waqaf; insentif cukai dan sokongan instrumen seperti jaminan kredit; penekanan terhadap tadbir urus dan ketelusan dalam penggunaan dana; serta pemerkasaan institusi melalui latihan, penyelidikan dan kerjasama rentas sektor.
“Kami yakin sukuk waqaf mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan ke atas sumber awam, serta menggerakkan impak sosial secara lebih bermakna melalui pendekatan pasaran yang kolaboratif,” ujar Mohd Irwan.
Bank Rakyat dan UIAM berharap kajian ini menjadi titik tolak kepada dialog strategik dan pelaksanaan praktikal oleh pemain industri kewangan dan badan filantropi di Malaysia.
Tambahnya, ketika Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju kewangan Islam global, sukuk waqaf mampu menjadi model generasi baharu untuk menggabungkan modal swasta dan dermawan demi pembangunan mampan sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah. - DagangNews.com








