KUALA LUMPUR 22 April — Bank Muamalat Malaysia Berhad dilantik menjadi ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang pertama menjalinkan kerjasama strategik sebagai saluran pengedaran untuk perkhidmatan Wakaf ASNB.
Menerusi kerjasama tersebut, pemegang unit ASNB boleh membuat sumbangan Wakaf ASNB secara mudah dengan berurusan melalui mana-mana sahaja cawangan terdekat Bank Muamalat di seluruh negara bermula 21 April 2025.
Bank tersebut berkata, inisiatif baharu ini bukan sahaja meningkatkan ketercapaian malah mengukuhkan lagi komitmen Bank Muamalat dan ASNB dalam menyediakan perkhidmatan wakaf yang lebih telus serta efektif.
"Wakaf ASNB membolehkan pemegang unit mewakafkan unit amanah ASNB mereka dan dana itu kekal sebagai pelaburan pokok dengan pulangan disalur kepada projek wakaf untuk pembangunan ummah," katanya dalam kenyataan.
Perkhidmatan itu diuruskan ASNB Wakalah Sdn Bhd, institusi pengurusan bertanggungjawab mentadbir dana wakaf secara menyeluruh bermula pengumpulan dana sehingga menguruskan agihan manfaat kepada golongan memerlukan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, kerjasama tersebut memberi bank itu peluang memperluaskan perkhidmatan dengan menyediakan rumusan kewangan Islam yang memberi impak sosial besar dan mencipta kehidupan lebih baik bersama.
“Dengan menambah portfolio kami sebagai ejen ASNB pertama bagi Wakaf ASNB, kami dapat memudahkan masyarakat untuk beramal melalui pelaburan dalam unit amanah ASNB yang boleh diwakafkan," kata beliau dalam kenyataan itu.
Dalam usaha untuk menggalakkan orang ramai mula berwakaf, seramai 100 pewakaf pertama yang membuat urusan Wakaf ASNB melalui Bank Muamalat akan menerima masing-masing baucar e-dompet Touch 'n Go bernilai RM30.
Beliau menambah bahawa penawaran perkhidmatan Wakaf ASNB melalui Bank Muamalat menzahirkan komitmen institusi perbankan patuh syariah tersebut untuk memperkasakan lagi sistem kewangan Islam secara bersepadu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, kerjasama dengan Bank Muamalat menyediakan platform lebih luas kepada pelanggan bank tersebut dan pemegang unit ASNB untuk berwakaf.
Mereka boleh berwakaf dengan yakin kerana ia menerima pengiktirafan mutawalli oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta tadbir urus dan informasi tells berkaitan dana wakaf dan sumbangan ke projek-projek wakaf.
Pewakaf juga katanya, berpeluang untuk menikmati potongan cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri, tertakluk kepada 10 peratus daripada pendapatan agregat pewakaf bagi tahun taksiran semasa.
Pada 2025, ASNB turut menganjurkan Kempen Seikhlas Wakaf yang menawarkan hadiah menarik iaitu pakej umrah dan kepingan emas untuk pelabur ASNB yang berwakaf.
Transaksi wakaf boleh dilaksanakan di semua cawangan ASNB dan Bank Muamalat serta secara dalam talian menerusi aplikasi atau portal myASNB.
Untuk maklumat lanjut berkaitan kempen dan daftar penyertaan, pelanggan boleh melayari pautan asnb.my/SeikhlasWakaf atau laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat.
Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di talian 03-2600 5500. - DagangNews.com








