KUALA LUMPUR 7 Mac — Bank Al-Maghrib yang merupakan bank pusat milik kerajaan Maghribi, menjadi tuan rumah dua program tahunan dan acara sampingan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) bermula 1 hingga 3 Julai 2025 di Rabat, Maghribi.
Ia membabitkan penganjuran Mesyuarat Majlis ke-46 dan Perhimpunan Agung ke-23, serta pelbagai acara sampingan lain yang akan melibatkan ahli-ahli IFSB dan ramai pemain utama dalam sistem perkhidmatan kewangan Islam antarabangsa.
Matlamat aktiviti tahunan itu bakal menumpukan kepada pengukuhan daya tahan dan tadbir urus, menangani kelemahan struktur, dan memudahkan perkongsian pengalaman dengan dipengerusikan Gabenor Bank Al-Maghrib, Abdellatif Jouahri.

"Beliau yang juga Pengerusi IFSB 2025 akan memimpin perbincangan hala tuju strategik dan kerja berterusan IFSB yang disertai gabenor bank pusat, ketua agensi kawal selia, badan antarabangsa dan peneraju industri," kata IFSB dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, acara sampingan yang disusun IFSB pula antaranya meliputi Forum Kestabilan Kewangan Islam ke-23, dengan tema 'Perkukuh Kestabilan: Menangani Kelemahan Struktur dan Membina Daya Tahan dalam Kewangan Islam'.
Selain itu, Forum Agensi Penarafan Kredit, yang bertemakan 'Memperkukuh Ketelusan dan Keyakinan Pasaran: Peranan Agensi Penarafan Kredit dalam Memajukan Pasaran Kewangan Islam' serta sesi perkongsian pengalaman daripada ahli IFSB.
Lembaga itu juga mengadakan Mesyuarat Kumpulan Perundingan IFSB ke-2, yang memaparkan perbincangan mengenai kerja berterusan IFSB, keutamaan kawal selia global yang muncul dan bidang kerja penetapan piawaian masa depan yang berpotensi.
"Sebanyak dua Bengkel Industri yang memberikan tumpuan kepada aspek pengurusan risiko kecairan, tadbir urus korporat, dan rangka kerja tadbir urus syariah juga bakal berlangsung di ibu negara Maghribi itu," jelas kenyataan IFSB. - DagangNews.com








