KUALA LUMPUR 11 Sept – Bandar Malaysia Sdn Bhd, syarikat pemaju milik kerajaan bagi projek mega Bandar Malaysia di ibu negara, akan membayar sejumlah pampasan kepada Sim Leisure Group Ltd.
Tindakan itu susulan pembatalan perjanjian pembangunan taman tema Escape di kawasan berkenaan pada 16 Disember 2024, yang juga tapak bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Sim Leisure, sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Singapura, menerusi satu makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia, semalam.
Pampasan yang akan diterima itu adalah 'material' bagi tahun kewangan semasa, namun jumlahnya tidak didedahkan atas dasar kerahsiaan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berkenaan.
“Segala rundingan terperinci serta butiran yang berkaitan mengenai isu penyelesaian pampasan hartanah ini akan kekal sebagai sulit,” menurut kenyataan Sim Leisure.
Sebagai sebahagian penyelesaian, Sim Leisure akan memulangkan semula tapak kepada Bandar Malaysia pada 15 September 2025, dan tidak mengenakan sebarang tuntutan lanjut terhadap pemaju itu.
Artikel berkaitan: Syarikat Singapura batalkan projek taman tema ESCAPE, KLCCP nafi beli tanah Bandar Malaysia
Isu mengenai projek kawasan tersebut berbangkit apabila Sim Leisure sebelum itu mendakwa Bandar Malaysia melanggar obligasi kontrak dengan membatalkan perjanjian pembangunan.
Pemaju hartanah tersebut dikatakan menjual tapak projek itu kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menerusi anak syarikat milik penuhnya, KLCC (Holdings) Sdn Bhd.
Tanah seluas 197 hektar itu, yang terletak di lokasi strategik, merupakan tapak sama sepatutnya dibangunkan untuk taman tema Escape seluas 30 hektar, berdasarkan perjanjian dimeterai pada 2023.
Walaupun projek pembangunan syarikat tersebut di Bandar Malaysia dibatalkan, Sim Leisure masih lagi mengekalkan operasi di Malaysia menerusi beberapa lokasi sedia ada.
Ini termasuk taman tema yang dikenali sebagai Escape Penang, di Teluk Bahang, Pulau Pinang; Escape Challenge di Paradigm Mall, Petaling Jaya, dan KidZania Kuala Lumpur.
Sim Leisure bagaimanapun tidak mendedahkan nilai pampasan, namun hanya menjelaskan yang jumlah itu adalah bermakna kepada prestasi kewangan semasa pada tahun ini.
Bayaran tersebut berkemungkinan memberikan kelegaan sementara kepada penyata kewangan kumpulan selepas pembatalan projek berimpak tinggi itu. - DagangNews.com








