Azam beri bayangan akan tamat khidmat Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Azam beri bayangan akan tamat khidmat Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Dis – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memberi bayangan tempoh perkhidmatannya mungkin berakhir pada 12 Mei tahun depan.


Gambaran tersebut jelas beliau, selepas tiga kali kontraknya disambung dengan kali pertama selama setahun bermula 12 Mei 2023, diikuti 13 Mei 2024 dan yang terakhir pada 13 Mei 2025.


Menurut laporan Sinar Harian, beliau mengakui yang isu penyambungan kontraknya secara berulang kali itu pada ketikan ini mencetuskan perasaan tidak selesa dalam kalangan pihak tertentu.


“Ramai orang tidak suka saya, (Datuk Seri) Rafizi (Ramli) pun tidak suka saya dan berharap agar tempoh saya tidak disambung selepas ini. Tempoh saya mungkin tamat tahun depan,” kata Azam.


Beliau menegaskan bahawa isu individu yang menerajui SPRM bukanlah perkara utama, sebaliknya kesinambungan usaha agensi berkenaan dalam memerangi rasuah yang perlu menjadi keutamaan.


“Apa yang penting ialah pengganti saya akan meneruskan agenda memperkukuh integriti, meningkatkan tadbir urus dan menguatkuasakan undang-undang antirasuah tanpa takut atau pilih kasih,” katanya.


Sebelum ini, media melaporkan yang Ahli Parlimen Pandan itu mencadangkan Pakatan Harapan segera mengambil langkah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan memerangi rasuah.


Ia susulan kekalahan teruk blok berkenaan dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke-17 di Sabah pada 29 November 2025 yang menyaksikan ia hanya mampu memenangi satu kerusi iaitu Melalap.


Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu turut menyatakan langkah tidak menyambung kontrak Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh menjadi langkah pertama kerajaan ke arah usaha itu.


Beliau yang juga bekas Menteri Ekonomi memberi amaran sebarang lanjutan akan menjejaskan kredibiliti Pakatan Harapan dalam isu integriti dan ketegasan menentang rasuah. - DagangNews.com