KUALA LUMPUR 28 Mac - Axiata Group Berhad melantik Patrick Forth sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas berkuat kuasa serta-merta.
Syarikat itu berkata, beliau terkenal sebagai pemimpin perniagaan dan penasihat strategik yang disegani, pakar luas dalam isu digital, transformasi dipacu kecerdasan buatan (AI) dan sektor telekomunikasi.
Pada masa ini, penasihat kanan dengan Boston Consulting Group (BCG) itu pernah menjadi ahli pasukan kepimpinan global BCG, mengetuai amalan teknologi, media dan telekomunikasi (TMT) syarikat tersebut.
Patrick juga menasihati firma TMT terkemuka dan syarikat teknologi yang berkembang pesat dalam isu kepimpinan, strategi, teknologi, AI, transformasi digital, kecemerlangan operasi serta pertumbuhan pasaran maju dan sedang pesat membangun.
"Ini termasuk syarikat telekomunikasi global dan serantau terkemuka," kata Axiata dalam satu kenyataan.
Dengan rekod prestasi yang terbukti dalam memacu transformasi dan pengembangan strategik, pelantikannya ke Lembaga Pengarah Axiata akan mengukuhkan lagi keupayaan kumpulan itu dalam teknologi baharu muncul.
Perspektif dan kepimpinan global beliau juga akan menjadi tidak ternilai dalam mengemudi Axiata ke arah kejayaan berterusan.
Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, kepimpinan Forth yang terbukti dalam teknologi dan syarikat berfokuskan pelanggan dengan sempurna sejajar keutamaan strategik Axiata.
Kepakaran industri beliau yang mendalam akan mengukuhkan lagi Lembaga Pengarah dan mengukuhkan komitmen Axiata terhadap penciptaan nilai, kecemerlangan operasi dan peneguhan masa depan Axiata dalam landskap digital yang semakin berkembang.
"Kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan sumbangan beliau yang amat dihargai oleh Lembaga Pengarah Axiata," katanya. - DagangNews.com








