KUALA LUMPUR 30 Mei — Axiata Group Berhad melantik Didi Syafruddin Yahya sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas (INED), berkuat kuasa 1 Jun 2025.
Beliau berpengalaman dalam kewangan, perbankan pelaburan dan tadbir urus korporat, dengan lebih tiga dekad pengurusan kewangan strategik, pengawasan risiko dan nasihat pelaburan.
Graduan dari Universiti Cambridge serta felo Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales itu turut pernah menjadi penasihat pelbagai institusi kewangan serantau dan global.
Kata Axiata, Didi Syafruddin ketika ini berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Presiden di PT Bank CIMB Niaga Tbk di Indonesia serta Pengarah Bebas Kanan CIMB Group Holdings Berhad.
"Beliau telah memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan tadbir urus lembaga, pengurusan risiko dan strategi kewangan," kata kumpulan tersebut dalam kenyataan.
Pengalamannya termasuk di JP Morgan Malaysia dan Indonesia, Morgan Grenfell, serta Arthur Andersen & Co, menjadikannya pemacu utama perbankan pelaburan dan kemampanan kewangan.
Pelantikannya itu ke Lembaga Pengarah Axiata sejajar dengan komitmen kumpulan berkenaan terhadap kecemerlangan kewangan, pengembangan strategik dan tadbir urus korporat.
Wawasan beliau mengenai strategi pelaburan, pengurusan risiko dan transformasi kewangan akan menjadi penting dalam memajukan pertumbuhan landskap digital dan telekomunikasi.
Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengalaman luas kepimpinan dan kepintaran kewangan Didi Syafruddin sangat berharga untuk masa depan Axiata.
"Kepakarannya akan mengukuhkan Lembaga Pengarah sambil kami memacu pertumbuhan mampan. Kami berbesar hati mengalu-alukan beliau dan mengharapkan sumbangan beliau,” katanya. - DagangNews.com








