KUALA LUMPUR 13 Ogos — Axiata Group Berhad serta Kementerian Pos dan Telekomunikasi Kemboja mengukuhkan kerjasama strategik bagi meningkatkan landskap keselamatan siber negara tersebut.
Kumpulan tersebut berkata, usaha berkenaan turut bertujuan memupuk generasi baharu bakat digital di Kemboja secara ketara menerusi keupayaan canggih Axiata sendiri dalam isu keselamatan siber.
Perkongsian penting ini juga tambahnya, menggariskan komitmen bersama antara kedua-dua pihak untuk dapat membina ekosistem digital yang lebih teguh, selamat dan berdaya tahan di seluruh Kemboja.
"Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai ini, kami mengiktiraf keselamatan siber sebagai pemboleh kritikal untuk aspirasi digital negara itu," kata Axiata dalam satu kenyataan.
Majlis penandatanganan MoU diadakan di Pusat Gabungan Siber Axiata (ACFC) disaksikan oleh Menteri Pos dan Telekomunikasi Kemboja, Chea Vandeth, yang turut berpeluang melawat kemudahan berkenaan.
Sesi pemeteraian dan pertukaran dokumen MoU itu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Vivek Sood, serta Ketua Pengarah Kementerian Pos dan Telekomunikasi Kemboja, Sam Sethserey.
Mengulas lanjut, Axiata berkata, bidang kerjasama komprehensif itu turut mewujudkan platform umum pertukaran maklumat ancaman dan strategi siber untuk meningkatkan keberkesanan tindak balas insiden.
"Di samping itu, kedua-dua pihak dapat bekerjasama untuk bertindak balas dan mengurangkan insiden rentas sempadan yang menjejaskan kedua-dua organisasi tersebut dengan lebih berkesan," katanya.
MoU itu juga katanya, dapat membangunkan dan melaksanakan program pembinaan kapasiti untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran profesional keselamatan siber dalam kedua-dua pihak.
Pada masa sama tambahhnya, MoU itu menggalakkan kerjasama dua hala melalui pertukaran maklumat, penyediaan pakar untuk perkongsian pengetahuan, dan penganjuran pelbagai aktiviti secara konsisten.
Axiata menambah, ini termasuk latihan bersama, seminar, lawatan sambil belajar, persidangan dan forum, termasuk yang tertumpu pada pensijilan profesional di bawah Pensijilan ACE Global.
"Perkongsian ini akan disokong oleh syarikat operasi Axiata Kemboja, Smart Axiata, memanfaatkan pemahaman pasaran tempatan yang mendalam dan inisiatif keselamatan siber yang mantap," katanya.
ACFC yang dilancarkan pada 2022, memainkan peranan penting dalam perkongsian itu selain memanfaatkan pemantauan ancaman masa nyata, pemburuan proaktif dan keupayaan perlindungan. - DagangNews.com








