KUALA LUMPUR 28 Jan - Axiata Group Berhad dan Sinar Mas dari Indonesia, memeterai dua surat hasrat (LOI) untuk meneroka dan memajukan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat dalam bidang berpotensi tinggi.
Dalam LOI pertama, Axiata dan Sinar Mas akan melaksanakan analisis pasaran terperinci, bagi melihat potensi kerjasama melibatkan Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara.
Dengan memanfaatkan ekosistem telekomunikasi masing-masing, Axiata dan Sinar Mas berhasrat meneroka peluang bagi membuka nilai untuk pemegang saham dalam beberapa bidang berpotensi tinggi, termasuk rumusan 5G, perkhidmatan perusahaan, kemudahan digital dan inovasi teknologi kewangan.
Menerusi LOI kedua, kedua-dua pihak mengukuhkan komitmen bersama seperti dinyatakan dalam Perjanjian Muktamad yang diumumkan pada 11 Disember 2024, untuk memajukan cadangan penggabungan PT XL Axiata Tbk, PT Smartfren Telecom Tbk dan PT Smart Telcom menjadi PT XLSmart Telecom Sejahtera Tbk di Indonesia.
LOI tersebut mengesahkan hasrat bersama dalam transaksi berkenaan yang memberikan XLSmart nilai perusahaan sebelum gabungan melebihi RM28.59 bilion, melambangkan visi yang kukuh untuk memupuk daya cipta, meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan dan mempertingkat keterhubungan digital di Indonesia sambil menyumbang kepada pasaran lebih sihat dan berdaya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Vivek Sood berkata, LOI terbabit adalah langkah penting untuk memajukan kerjasama serantau dalam membentuk gelombang perubahan digital seterusnya di Asia Tenggara dan memperkukuh perkhidmatan di bidang berpotensi tinggi.
"Dengan mempererat kerjasama sedia ada bersama Sinar Mas, kami berhasrat memanfaatkan potensi peralihan dalam 5G, rumusan perusahaan dan kemudahan digital untuk mendorong pertumbuhan ekonomi mampan serta merapatkan jurang digital di Malaysia, Indonesia dan seterusnya.
"Kami amat menghargai sokongan kukuh daripada kerajaan Malaysia dan Indonesia yang melaksanakan dasar proaktif mengenai keterhubungan dan inklusi digital. Ia telah membentuk asas kukuh untuk kerjasama ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dengan menyelaraskan hasrat bersama Axiata dan agenda ekonomi digital nasional dan serantau, kumpulan sedang membina asas untuk ekosistem digital yang dinamik dan menyeluruh.
Sementara itu, Pengerusi Telekomunikasi dan Teknologi Sinar Mas, Franky Oesman Widjaja berkata, dua LOI yang ditandatangani bersama Axiata menandakan bab baharu yang menarik dalam misi bersama pihaknya untuk mempercepat peralihan digital di Malaysia dan Indonesia.
"Kami yakin kerjasama ini dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada semua pihak dan membawa kesan positif kepada ekonomi digital di rantau ini dengan meningkatkan sambungan, mendorong inovasi, serta menyokong perniagaan dan masyarakat," katanya. - DagangNews.com








