Axiata berjaya tangani risiko operasi di Bangladesh, fokus kepada tambah nilai aset – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata berjaya tangani risiko operasi di Bangladesh, fokus kepada tambah nilai aset – CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Sept – Kebimbangan risiko operasi Axiata Group Berhad di Bangladesh yang sebelum ini menjejaskan keyakinan pelabur berjaya diatasi secara signifikan, kata CGS International (CGSI).


Menurut firma penyelidikan tersebut, langkah berkenaan susulan peningkatan sebanyak 21% dalam rizab asing operator telekomunikasi negara rantau Asia Selatan itu bagi tempoh Mei hingga Ogos 2025.


Perkembangan itu melegakan pasaran yang sebelum ini gusar terhadap potensi sekatan modal yang boleh menjejaskan usaha pembayaran dividen dari anak syarikat utama seperti Robi dan Edotco Bangladesh.


"Kestabilan ekonomi makro Bangladesh dijangka menyokong semula penilaian positif terhadap aset Axiata yang sudah berada sekian lama di negara tersebut," kata CGSI dalam laporan kajian terkininya.


Usaha berkenaan tambah firma berkenaan, adalah penting memandangkan Edotco Bangladesh berjaya menyumbang kira-kira 34% daripada seluruh hasil tahunan Edotco sendiri pada tahun kewangan 2024.


Tambahnya, walaupun kadar pertukaran mata wang taka Bangladesh masih belum lagi pulih berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), risiko ketat kawalan modal di negara tersebut dinilai semakin reda.


Perkembangan positif ini menurut CGSI, dijangka mampu menyokong keupayaan Axiata untuk terus menjana banyak pulangan dari operasinya di Bangladesh dengan tiada isu masalah yang besar.


"Selain isu geopolitik serantau, Axiata kekal di landasan yang kukuh untuk menyerlahkan nilai aset strategik, khususnya PT Link Net di Indonesia, menjelang akhir 2025 atau pada awal 2026," katanya.


Firma penyelidikan itu menambah, langkah ini sebahagian daripada pelaksanaan strategi Axiata 5*5, yang menekankan fokus kepada nilai aset syarikat dan pengurangan diskaun penilaian konglomerat.


Penstrukturan nilai ini kata CGSI, penting bagi mengurangkan diskaun kira-kira 40% yang sedang dikenakan ke atas saham Axiata berbanding nilai aset bersih disemak (RNAV) RM4.20 sesaham.


Ia turut menegaskan, para pelabur perlu memantau pengumuman penting syarikat ini berkaitan usaha pengewangan aset sebagai pemangkin utama penilaian semula saham Axiata dalam tempoh terdekat.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran masih lagi RM3.40 sesaham, berdasarkan diskaun dua tahun ke atas RNAV pada kadar kos ekuiti (COE) sebanyak 11.2%," katanya.


Sokongan tambahan jelas CGSI, juga dijangka hadir dalam bentuk pembayaran dividen yang stabil sebanyak 10 sen sesaham, bersamaan pendapatan dividen kira-kira 3.9% untuk tahun kewangan 2025.


Bagaimanapun ia mengingatkan kegagalan Axiata menyerlahkan nilai aset atau kemerosotan prestasi operasi anak syarikat akibat tekanan harga atau kejutan ekonomi boleh mengekalkan diskaun RNAV.


Secara keseluruhan, pemulihan rizab asing Bangladesh memperkukuh asas operasi Axiata di negara itu, serta diyakini memberi ruang kepada pelabur untuk menilai semula potensi saham kumpulan ini.


"Tumpuan kumpulan telekomunikasi itu pada masa ini beralih kepada pelaksanaan pengewangan aset menjelang 2026 sebagai pemacu utama lonjakan penilaian," kata CGSI. - DagangNews.com