Axiata berdepan tekanan ekonomi di pasaran baharu, penganalisis ramal prospek masih lagi tidak menentu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata berdepan tekanan ekonomi di pasaran baharu, penganalisis ramal prospek masih lagi tidak menentu

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 Mei – Risiko ketidaktentuan geopolitik, turun naik mata wang asing serta tekanan ekonomi di pasaran baharu membangun dijangka terus membayangi prestasi Axiata Group Berhad.


Penganalisis berpandangan, risiko masih tinggi meskipun kumpulan telekomunikasi itu mempunyai potensi pertumbuhan daripada penggabungan XLSmart dan usaha penjualan aset infrastrukturnya.


Ujar mereka, prospek jangka sederhana masih tidak menentu dengan kebanyakan pemangkin positif dijangka mengambil masa sebelum dapat mewujudkan pertumbuhan keuntungan secara lebih mampan.


Antaranya Philip Capital yang dalam analisisnya, mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Axiata dengan harga sasaran (TP) diunjur lebih tinggi iaitu RM2.63 berbanding RM2.48 sebelum ini.


"Kumpulan ini dijangka mencatatkan penurunan keuntungan bersih teras tahun ke tahun (YoY) kepada sekitar RM130 juta bagi suku pertama FY26 susulan ketiadaan sumbangan pendapatan XL," katanya.


Firma penyelidikan itu merujuk penggabungan yang kemudian dikenali sebagai XLSmart, tetapi menilai prestasi suku ke suku (QoQ) dijangka kekal stabil disokong pertumbuhan pelanggan di Indonesia.


Tambah Phillip Capital, pemulihan beransur-ansur Axiata dijangka dilihat melalui hasil penjimatan kos integrasi rangkaian serta potensi telekomunikasi 5G di Indonesia, Sri Lanka dan Kemboja.


Bagaimanapun ujar firma berkenaan dalam notanya, sumbangan untuk tempoh jangka pendek dikhuatiri kekal adalah terhad kerana usaha pembangunan 5G di negara itu masih berada pada peringkat awal.


"Pasaran baharu seperti Bangladesh paling terdedah isu kelemahan perbelanjaan pengguna dan masalah struktur bekalan tenaga, manakala Kemboja lebih stabil kerana disokong tenaga hidro," katanya.
 

Axiata_DagangNews


Di samping itu Phillip Capital turut melihat potensi besar jika Axiata berjaya melupuskan pegangan 63% dalam syarikat Edotco yang diunjur bernilai sekitar AS$3.5 bilion (kira-kira RM13.7 bilion).


Pelupusan penuh ekuiti tersebut jelas firma berkenaan, berpotensi mengurangkan nisbah hutang bersih kumpulan kepada hasil kasar sekitar 0.7 hingga 1.1 kali berbanding 2.5 kali ketika ini.


Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) turut mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran juga dijangka tidak berubah iaitu RM2.40 sesaham.


"Usaha penambahan nilai aset infrastruktur termasuk Edotco dan Link Net kekal menjadi strategi utama Axiata bagi mengurangkan hutang di peringkat syarikat induk," jelas firma penyelidikan itu.


Menurutnya, berdasarkan anggaran nilai perusahaan kepada perolehan kasar antara sebanyak enam hingga lapan kali, Edotco berpotensi dinilai antara kira-kira RM10.6 bilion hingga RM14.4 bilion.


Bagaimanapun kata PublicInvest, penilaian bukan satu-satunya faktor kerana menara telekomunikasi merupakan aset strategik dan perlu mempertimbangkan terma pajakan semula yang menguntungkan.


Selain itu, konflik berterusan di Timur Tengah yang mencetuskan kenaikan kos bahan api dan risiko gangguan bekalan tenaga boleh memberi kesan kepada operasi Axiata terutama di pasaran baharu.


"Antara kebimbangan utama ialah kemerosotan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU), masalah peningkatan kos operasi, kadar faedah lebih tinggi dan tekanan kadar tukaran asing," ujarnya.


Namun begitu, PublicInvest menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatan telekomunikasi adalah kekal stabil kerana ia dianggap sebagai keperluan asas pengguna di seluruh dunia pada ketika ini.


Dalam pada itu tambahnya, Axiata turut mengekalkan sasaran pertumbuhan dividen minimum 10% setahun mulai 2026 yang dijangka disokong aliran dividen lebih kukuh. - DagangNews.com